SPRM siasat IJM berkaitan cadangan pengambilalihan oleh Sunway kerana membabitkan dana awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM siasat IJM berkaitan cadangan pengambilalihan oleh Sunway kerana membabitkan dana awam

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan ke atas IJM Corp Bhd berkaitan cadangan pengambilalihan Sunway Bhd yang kini dalam proses rundingan.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya teah menerima laporan mengenai tawaran tersebut dan pemegang saham IJM termasuk syarikat berkaitan kerajaan.

 

“Ini menjadi perhatian kami kerana ia melibatkan dana awam. Kami sedang meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran tadbir urus dalam perkara ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

 

Azam berkata, dengan siasatan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka terhadap IJM sebanyak tiga.

 

Beliau menambah, satu daripadanya melibatkan dakwaan rasuah berkaitan sebuah projek.

 

“Bagi kes ini, kami baru-baru ini telah memanggil pengerusi yang berkaitan untuk dirakam percakapannya. Siasatan lanjut masih perlu dijalankan dalam perkara ini,” katanya.

 

Menurut beliau lagi, SPRM juga masih meneliti satu siasatan yang didakwa dijalankan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion yang dilaporkan di negara itu.

 

IJM sebelum ini menafikan dakwaan pengubahan wang haram dan menyatakan ia tidak mengetahui mengenai sebarang siasatan oleh pihak berkuasa UK.

 

Azam berkata, SPRM sedang “bekerjasama dengan rakan sejawatan di UK”, namun setakat ini belum mencapai sebarang kesimpulan berhubung pertukaran maklumat dalam perkara tersebut.

 

Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.

 

Kumpulan itu berkata, sekiranya tawaran tersebut diterima sepenuhnya tanpa sebarang penyesuaian harga, jumlah pertimbangan adalah kira-kira RM11 bilion, yang akan dibayar melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.

 

Sunway menjangkakan tawaran ini akan diselesaikan pada suku ketiga 2026.

 

Dalam tawaran tunai dan saham pada Januari lalu, Sunway menilai kumpulan pembinaan dan hartanah berinfrastruktur itu pada RM3.15 sesaham atau RM11 bilion.

 

Pemegang saham IJM yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan lebih 20% kepentingan, diikuti Permodalan Nasional Bhd (13.5%), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (9.64%), Urusharta Jamaah Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan (2.84%) dan Lembaga Tabung Haji (1.47%).

 

KWSP juga memiliki 9.45% saham dalam Sunway.

 

Dalam perkembangan berkaitan, IJM telah memperoleh lanjutan tarikh akhir bagi penyerahan dokumen pekeliling bebas kepada pemegang saham, daripada 16 Mac ke tarikh baharu, dan tawaran pengambilalihan itu kini dibuka untuk penerimaan sehingga 6 April. - DagangNews.com