KUALA LUMPUR 1 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh tambahan dua minggu kepada James Chai Jin Shern untuk hadir secara peribadi bagi membantu siasatan berkaitan urus niaga Arm Holdings plc.
Suruhanjaya itu berkata, sekiranya beliau gagal berbuat demikian, pihaknya tidak menolak kemungkinan mendapatkan bantuan pihak berkuasa antarabangsa termasuk Interpol bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
Menurut SPRM, Chai dikenal pasti sebagai individu penting dalam siasatan kes melibatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion yang dimeterai ketika Datuk Seri Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi.
“Sekiranya beliau berpendirian tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM dan bukannya membuat kenyataan di ruang awam tanpa hadir kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
SPRM sebelum ini telah mengeluarkan notis mengesan Chai pada 4 Mac 2026, namun peguamnya memaklumkan beliau tidak dapat hadir atas faktor kos perjalanan dan komitmen kerja.
Tempoh lanjutan sehingga 31 Mac telah diberikan, tetapi tiada maklum balas diterima.
Dalam perkembangan terbaharu, SPRM turut menawarkan untuk menanggung kos penerbangan beliau ke Malaysia bagi memudahkan proses siasatan.
Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam keterangan dan pelbagai dokumen penting dikumpulkan, manakala lapan lagi saksi termasuk dari luar negara dijangka dipanggil dalam masa terdekat.
Kes berkenaan melibatkan usaha kerajaan untuk membangunkan keupayaan semikonduktor dan unit pemprosesan grafik (GPU) negara menerusi kerjasama dengan Arm.
Sebelum ini, Chai menafikan sebarang dakwaan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, selain menyifatkan tindakan SPRM terhadapnya seolah-olah melayannya seperti seorang pelarian. - DagangNews.com








