KUALA LUMPUR 4 Mac — SP Setia Berhad bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membangunkan projek bercampur dan taman perindustrian seluas 142 hektar di Bandar Setia Fontaines, Bertam.
Menerusi satu kenyataan, pemaju hartanah itu berkata, kawasan tersebut sedang dalam proses pengezonan semula namun memorandum kerjasama telah pun ditandatangani dengan pihak agensi pembangunan di bawah kerajaan negeri berkenaan.
“Perkongsian ini meneroka pelbagai model perniagaan berpotensi serta mempercepatkan pertumbuhan dan meningkatkan strategi tanah perindustrian serantau kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai.
Beliau menambah, dengan tumpuan syarikat tersebut untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bertema hijau, mereka yakin inisiatif ini akan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan jualan dan keuntungannya.
Bagaimanapun butiran lebih lanjut mengenai projek tersebut, termasuk dari segi kos, jenis hartanah dan garis masa bagi pembangunan, tidak pula didedahkan oleh pemaju itu dalam kenyataan berkenaan.
Cadangan projek itu terletak dalam perbandaran mega Setia Fontaines yang berkeluasan hampir 688 hektar berdekatan Kepala Batas, Daerah Sebarang Perai Utara, iaitu di bahagian tanah besar Pulau Pinang.
Pada masa ini, SP Setia juga sedang membangunkan taman perindustrian di Setia Alam di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Kupang di Iskandar Puteri, Johor.
Secara keseluruhannya, syarikat berkenaan telah mengenal pasti kawasan seluas 405 hektar bank tanahnya untuk tujuan perindustrian.
“Pembangunan estet perkilangan ini bakal mewujudkan asas yang kukuh, memanfaatkan permintaan tinggi dalam sektor hartanah perindustrian untuk memastikan nilai dan pertumbuhan berkekalan syarikat,” tambah Kai Wai.
Hasil daripada perolehan itu pula ujar beliau, akan disuntik masuk ke dalam Setia REIT (amanah pelaburan hartanah) syarikat berkenaan pada masa hadapan,
SP Setia memiliki sejumlah 42 projek yang sedang dijalankan, dengan bank tanah seluas 2,206 hektar bernilai RM128.59 bilion dalam nilai pembangunan kasar pada akhir 2024. Jumlah jualan belum dibilkan berjumlah RM4.09 bilion. - DagangNews.com








