SP Setia lancar projek kediaman baharu Aurora II bernilai RM63 juta di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia lancar projek kediaman baharu Aurora II bernilai RM63 juta di Klang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai – SP Setia Berhad melancarkan Aurora II, projek kediaman baharu bernilai pembangunan kasar (GDV) RM63.14 juta di Setia Bayuemas South, Klang susulan sambutan positif terhadap pelancaran Aurora I sebelum ini.

 

Projek yang dilancarkan pada 18 Julai 2026 itu menawarkan sebanyak 69 unit rumah teres dua tingkat berstatus pegangan bebas dengan saiz lot 22 kaki x 75 kaki.

 

Setiap unit Aurora II dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air dengan harga jualan bermula daripada RM840,000. Kediaman itu mempunyai keluasan binaan antara 1,904 kaki persegi bagi lot tengah dan 1,967 kaki persegi bagi lot tepi (end lot) dan ‘corner lot’.

 

Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata sambutan baik terhadap Aurora I menunjukkan keyakinan pembeli terhadap jenama SP Setia serta daya tarikan Setia Bayuemas sebagai salah satu perbandaran pilihan di Klang Selatan.

 

Menurut beliau, Aurora II meneruskan komitmen syarikat dalam menyediakan kediaman berkualiti dalam sebuah perbandaran matang yang mempunyai kemudahan lengkap, hubungan pengangkutan yang baik dan potensi pertumbuhan jangka panjang.

 

Setia Bayuemas Terus Berkembang Dengan Kemudahan Moden

Beliau berkata, pembangunan Aurora II merupakan sebahagian daripada Setia Bayuemas seluas 545 ekar (220 hektar) yang menawarkan persekitaran komuniti lengkap kepada penduduk.

 

“Pembukaan Laluan LRT Shah Alam (LRT 3) baru-baru ini dengan Stesen Johan Setia terletak kurang daripada 3 kilometer dari Setia Bayuemas, meningkatkan lagi kebolehcapaian dan daya tarikan perbandaran ini,” katanya.

 

t

 

Aurora II direka dengan konsep seni bina moden dan elegan, kemasan batu, elemen kayu serta bumbung condong berinspirasikan tropika bagi memberikan suasana kediaman yang lebih selesa.

 

Selain reka bentuk moden, kediaman itu turut dilengkapi ciri rumah pintar serta rangkaian ciri Setia eGreenLiving termasuk kunci pintar, suis hijau, Box 366, penyediaan port pengecas kenderaan elektrik (EV) dan saluran pendawaian bagi pemasangan solar fotovoltaik (PV).

 

SP Setia berkata, Setia Bayuemas South menyasarkan golongan profesional muda serta pasangan berpendapatan dua sumber yang mencari kediaman dalam komuniti yang mempunyai kemudahan gaya hidup dan akses mudah ke kawasan sekitar.

 

Lokasi Strategik Sokong Nilai Jangka Panjang

Dari aspek kemudahan harian, penduduk Setia Bayuemas mempunyai akses kepada institusi pendidikan seperti Sekolah Kebangsaan Kampung Pendamar, SJK(C) Wu Teck, Orbix International School, Collinz International School dan Canary International School.

 

Kawasan itu turut berhampiran kemudahan kesihatan serta pusat beli-belah utama termasuk Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, AEON Mall Bukit Tinggi, KSL Esplanade Mall dan GM Klang Wholesale City yang berada dalam lingkungan 10 kilometer.

 

Menurut SP Setia, kedudukan strategik Setia Bayuemas yang dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) memberi kemudahan perjalanan ke kawasan lain di Lembah Klang.

 

Pelancaran Aurora II sebahagian daripada usaha SP Setia meneruskan pembangunan komuniti bersepadu yang menekankan aspek keselesaan, kemudahan moden dan nilai hartanah jangka panjang. - DagangNews.com