Southern Cable terkesan kenaikan harga polimer 30%–40%, inventori cukup tampung operasi hingga Julai – Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Cable terkesan kenaikan harga polimer 30%–40%, inventori cukup tampung operasi hingga Julai – Kenanga

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Kenanga Investment Bank Berhad mengekalkan penarafan Outperform terhadap Southern Cable Group Berhad dengan harga sasaran disemak sedikit lebih rendah kepada RM2.68 berbanding RM2.71 sebelum ini, selepas mengambil kira kesan kenaikan kos bahan mentah utama iaitu polimer yang meningkat ketara sejak awal tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata syarikat pengeluar kabel tersebut berdepan cabaran tekanan kos apabila harga polimer melonjak sekitar 30% hingga 40% tahun ini susulan ketidaktentuan geopolitik global, yang menyebabkan harga bahan tersebut sukar dijangka dengan perubahan hampir berlaku setiap satu hingga dua hari.

 

Namun begitu, Kenanga berkata impak tersebut masih dapat dikawal kerana Southern Cable telah mengunci sebahagian besar inventori polimer pada harga pra-kenaikan, membolehkannya menampung penghantaran kontrak jangka panjang sehingga sekitar bulan Julai.

 

“Inventori tersebut memberikan penampan jangka pendek terhadap tekanan margin, sekali gus mengurangkan risiko segera walaupun persekitaran harga bahan mentah kekal tidak menentu.

 

“Dari segi struktur pendapatan, kira-kira 70% hasil Southern Cable datang daripada pesanan pembelian jangka pendek (PO), di mana harga boleh diselaraskan secara hampir harian mengikut perubahan kos input, membolehkan mekanisme pemindahan kos (cost pass-through) dilaksanakan dengan lebih efektif,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan itu, syarikat telah pun menaikkan harga jualan sekitar 10% bagi sebahagian produk untuk menampung kenaikan kos bahan mentah dalam segmen tersebut.

 

Baki 30% hasil pula datang daripada kontrak jangka panjang yang ditender pada harga tetap, yang tidak membenarkan sebarang pelarasan walaupun berlaku kenaikan ketara kos polimer, pengangkutan dan operasi.

 

Dalam masa sama, Southern Cable dan pemain industri lain kini sedang menjalankan rundingan kolektif bagi menyemak semula harga kontrak jangka panjang, dengan fokus kepada keperluan memastikan kelangsungan industri, khususnya dalam kalangan pengeluar kecil yang lebih terkesan dengan lonjakan kos.

 

Perbincangan tersebut dijangka memberikan kejelasan menjelang akhir suku kedua 2026, dengan kemungkinan pelarasan harga semakin terbuka berdasarkan tekanan kos semasa dan struktur industri yang semakin mencabar.

 

Kenanga berkata industri kabel ketika ini bersifat sangat kompetitif dengan kehadiran ramai pemain, terutama dalam segmen voltan rendah (LV), di mana syarikat-syarikat kecil lebih terdedah kepada tekanan margin berikutan kenaikan kos bahan mentah.

 

Dalam keadaan ini, pemain besar seperti Southern Cable mempunyai kelebihan dari segi skala operasi, kecekapan perolehan serta keupayaan mengurus kos yang lebih baik, sekali gus membolehkan mereka kekal lebih berdaya tahan berbanding pesaing kecil dalam persekitaran harga yang mencabar.

 

“Dari segi operasi, Southern Cable turut mendapat manfaat daripada projek tenaga berskala besar apabila tempahan kabel berkaitan LSS5 bagi segmen voltan tinggi (HV) yang diperoleh pada 1Q26 telah mencapai tahap yang setara dengan keseluruhan FY25, dengan pengiktirafan hasil dijangka bermula pada 2H26.

 

“Selain itu, talian produk baharu 33kV hingga 275kV dijadualkan mula dihantar pada separuh kedua 2026 dan akan memasuki fasa pengeluaran penuh pada FY27, menyokong peningkatan kapasiti bagi kabel 132kV dan 275kV.

 

“Dari sudut pengembangan, kapasiti pengeluaran semasa syarikat adalah sekitar 55,000 kilometer, dengan tambahan kira-kira 5,000 kilometer dijangka pada 2H26 dan tambahan lagi 5,000 kilometer pada FY27, menjadikan jumlah kapasiti sekitar 65,000 kilometer apabila Loji A dan B beroperasi sepenuhnya,” kata firma tersebut.

 

Kenanga juga menyatakan syarikat sedang meneroka tanah berdekatan bagi pengembangan masa depan, disokong oleh permintaan yang kukuh daripada sektor utiliti dan projek infrastruktur tenaga.

 

Dari pasaran eksport, Southern Cable terus mencatat momentum positif di Amerika Syarikat dengan penghantaran sekitar 45 kontena sebulan, selain memperoleh pensijilan PV wayar baharu yang dijangka membuka peluang produk lebih luas bermula 2H26.

 

Walaupun berdepan tekanan kos polimer, Kenanga hanya menyemak turun unjuran pendapatan sebanyak 3% bagi FY26F dan 1% bagi FY27F, mencerminkan andaian pelarasan harga yang lebih sederhana dalam kontrak jangka panjang.

 

Bagi unjuran kewangan, Kenanga menjangkakan hasil Southern Cable meningkat daripada RM1.76 bilion pada FY25 kepada RM1.88 bilion pada FY26 dan RM2.15 bilion pada FY27, dengan keuntungan bersih masing-masing RM131.5 juta, RM156.0 juta dan RM193.8 juta.

 

EPS pula diunjurkan pada 15.1 sen (FY25), 15.2 sen (FY26) dan 18.9 sen (FY27), dengan PER sekitar 12.0x, 11.9x dan 9.6x, manakala dividen dijangka meningkat daripada 2.9 sen kepada 4.5 sen dalam tempoh sama.

 

Kenanga menegaskan bahawa walaupun terdapat risiko utama seperti dasar kerajaan, kenaikan berterusan harga polimer serta risiko geopolitik dan perdagangan global, penurunan harga saham ketika ini dilihat sebagai peluang kerana risiko penurunan adalah terhad, termasuk senario terburuk di mana harga sasaran hanya jatuh sedikit kepada RM2.65 jika tiada semakan harga kontrak dilakukan. - DagangNews.com