Southern Cable peroleh kontrak bekalan kabel RM403.6 juta selama setahun daripada TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Cable peroleh kontrak bekalan kabel RM403.6 juta selama setahun daripada TNB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb — Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad memperoleh jaminan kontrak sebanyak RM403.6 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan diberikan kepada unit syarikat itu, Southern Cable Sdn Bhd.
 

Menurut Pengarah Urusannya, Tung Eng Hai, tawaran itu melibatkan kerja-kerja pembekalan serta penghantaran kabel bekalan kuasa bawah tanah dan konduktor untuk pihak bahagian rangkaian pengedaran TNB selama setahun mulai Februari 2025.
 

"Kontrak daripada TNB ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan Southern Cable untuk menyiapkan produk berkualiti tinggi serta penting kepada keutuhan prasarana tenaga elektrik yang kritikal di seluruh Semenanjung Malaysia.
 

"Kami komited untuk menyokong usaha TNB bagi mengukuhkan grid kuasa dan memenuhi segala permintaan tenaga negara kita yang semakin meningkat, dengan didorong juga oleh faktor peningkatan pembinaan dan pembangunan infrastruktur," katanya.

 

TNB dilaporkan mempunyai opsyen untuk melanjutkan perjanjian selama tempoh setahun lagi dengan pesanan tambahan nilai kontrak asal selain menggunakan pilihannya untuk meminta pesanan tambahan sehingga 30 peratus daripada nilai kontrak asal.
 

 

"Sebagai memenuhi permintaan yang naik, kami akan mengembangkan kapasiti pengeluaran dan meningkatkan rangkaian produk, terutamanya untuk kabel voltan sederhana dan tinggi yang penting untuk pencawang serta projek infrastruktur baharu.
 

"Melihat ke hadapan, kami malahan yakin dapat memberikan prestasi teguh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan disokong oleh banyak tempahan kukuh dan aktiviti pembangunan ekonomi Malaysia," tambah Eng Hai.
 

Harga saham Southern Cable semalam ditutup menokok sebanyak dua sen atau 1.57 peratus lebih tinggi kepada RM1.29, menjadikan permodalan pasarannya kepada RM1.18 bilion. - DagangNews.com