KUALA LUMPUR 20 Julai – Sorento Capital Bhd memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Kelulusan itu adalah satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan perniagaan Sorento sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada Oktober 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kelulusan tersebut diterima menerusi surat bertarikh 16 Julai 2026, susulan permohonan yang dikemukakan pada Mac lalu.
Sorento Capital berkata, setakat 13 Julai 2026, jumlah saham syarikat yang diterbitkan adalah sebanyak 860 juta unit dengan nilai keseluruhan modal saham berjumlah RM97.77 juta.
Selain itu, pegangan saham awam syarikat setakat 17 Julai 2026 adalah sebanyak 26.12% daripada keseluruhan modal saham terbitannya yang memenuhi keperluan pegangan awam minimum bagi penyenaraian di Pasaran Utama.
Prestasi Kewangan Semakin Kukuh
Sementara itu, Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai berkata, syarikat telah membuktikan keupayaannya menerusi pertumbuhan hasil, keuntungan yang konsisten serta kedudukan kewangan yang kukuh.
Menurut beliau, perniagaan Sorento Capital kini telah mencapai tahap kematangan yang sesuai untuk disenaraikan di Pasaran Utama, di samping mampu meningkatkan keterlihatan syarikat dalam kalangan pelabur institusi serta memperluaskan penyertaan pelabur.
Syarikat yang terlibat dalam perniagaan kelengkapan bilik mandi dan dapur itu mencatat prestasi kewangan kukuh dengan pendapatan tertinggi dalam sejarah pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).
Sorento merekodkan pendapatan sebanyak RM179.2 juta, meningkat 18.3% berbanding RM151.5 juta pada FY24, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada jualan pengedar dan jualan berasaskan projek.
Jualan pengedar kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 65.9% daripada jumlah hasil, melonjak 20.8% tahun ke tahun kepada RM118.1 juta daripada RM97.8 juta pada FY24.
Jualan berasaskan projek pula meningkat 12.2% kepada RM59.6 juta, menyumbang 33.3% daripada jumlah hasil manakala saluran dalam talian mencatat pertumbuhan lebih dua kali ganda kepada RM1.5 juta berbanding RM0.6 juta pada tahun sebelumnya.
Seiring dengan pertumbuhan pendapatan, untung bersih meningkat 7.4% kepada RM26.2 juta, berbanding RM24.4 juta pada FY24. - DagangNews.com








