KUALA LUMPUR 14 Julai - Solid Automotive Bhd mengambil alih syarikat alat ganti kenderaan, SG, dengan nilai RM6 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat alat ganti automotif itu berkata ia telah memperoleh keseluruhan pegangan dalam SG (sebanyak 500,000 saham) daripada pemegang saham syarikat tersebut, iaitu Ng Tian Seow, Leong Foo Weng dan Hong Kok Liang.
Solid Automotive berkata, pengambilalihan yang dicadangkan ini merupakan satu peluang baharu untuk pertumbuhan dan keuntungan kumpulan dalam segmen alat ganti pasaran selepas jualan (aftermarket) automotif am bagi kereta penumpang, yang merupakan segmen besar dalam industri alat ganti pasaran selepas jualan automotif di Malaysia.
Menurutnya, segmen alat ganti pasaran selepas jualan automotif am dijangka terus berkembang seiring dengan pertumbuhan pasaran automotif.
“SG telah lama bertapak dalam bidang perdagangan alat ganti automotif tulen, serta jenama tulen termasuk, tetapi tidak terhad kepada, Perodua, Proton dan Nissan.
“Pelanggan SG terdiri terutamanya daripada kedai alat ganti serta rangkaian lebih daripada 300 pelanggan.
"Oleh itu, Solid dapat memanfaatkan saluran pengedaran SG yang telah kukuh dan mantap.” - DagangNews.com








