KUALA LUMPUR 15 April - Solarvest Holdings Bhd merancang mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga solar berskala besar bagi memenuhi lonjakan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui, susulan peningkatan kos bahan api fosil akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya perlu berbincang dengan pengawal selia mencari jalan untuk melaksanakan kerja dengan lebih pantas.
"Jika projek berkenaan mengambil masa 18 hingga 24 bulan, kami perlu berbincang dengan pengawal selia tentang bagaimana untuk melaksanakan dengan pantas, mungkin dari 12 ke 16 bulan," katanya lapor Bloomberg.
Chun Shiong berkata, pihaknya menjangkakan kos bahan api fosil terus meningkat pada separuh kedua 2026, sekali gus mempercepatkan peralihan kepada tenaga solar.
Solarvest, pemain utama tenaga solar negara, membangunkan projek berskala besar untuk disalurkan ke grid nasional serta projek tenaga boleh diperbaharui korporat melalui perjanjian pembelian tenaga secara langsung.
Syarikat itu menyasarkan penambahan kira-kira 1.3 gigawatt (GW) kapasiti solar pada 2026 dan sekurang-kurangnya lima GW lagi menjelang 2028. Selain itu, Solarvest juga merancang melaksanakan projek solar berskala besar untuk Tenaga Nasional Bhd bermula tahun hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Solarvest baru-baru ini mengumumkan dua projek solar utama bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program kerjasama korporat.
Projek tersebut akan membekalkan tenaga kepada kemudahan milik Micron Technology Inc di Pulau Pinang dan Muar, selain menyokong operasi pusat data milik NTT Inc serta operasi tempatan Texas Instruments Inc.
Dalam pada itu, Chun Shiong berkata, harga panel solar dan bateri dijangka kekal stabil atau menurun, memandangkan rantaian bekalan dari China tidak terjejas secara langsung oleh konflik tersebut.
Ketika ini, harga panel solar dianggarkan sekitar AS$0.11 bagi setiap watt, manakala harga bateri sekitar AS$100 bagi setiap kilowatt-jam, dengan trend penurunan menghampiri paras harga di China antara AS$60 hingga AS$80.
Sementara itu, seorang lagi pemain industri memaklumkan bahawa pertanyaan bagi projek solar meningkat sekurang-kurangnya 40% pada April, didorong oleh syarikat pusat data dan rantaian bekalan semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Power Sdn Bhd, Cliff Siaw berkata, peningkatan kos tenaga menjadikan pelaburan dalam tenaga solar lebih menarik dari segi pulangan.
“Semakin tinggi kos tenaga, semakin cepat pulangan pelaburan, sekali gus menjadikan projek solar lebih berdaya maju,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara telah mencecah 12GW pada 2025.
Malaysia yang kini muncul sebagai antara hab pusat data paling pesat berkembang di Asia, kekal sebagai pengeksport bersih tenaga, namun masih bergantung kepada import bagi memenuhi sebahagian keperluan bahan api domestik dan gas.
Dari sudut pasaran, saham Solarvest meningkat sehingga 3.3% hari ini, menjadikan kenaikan terkumpul sekitar 28% sejak bermulanya konflik Iran. Dalam tempoh 12 bulan lalu, saham syarikat itu turut mencatatkan peningkatan hampir 75%. - DagangNews.com








