KUALA LUMPUR 21 Julai – SkyeChip Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 35.0% kepada RM48.5 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Menurut makluman kumpulan penyedia rumusan teknologi yang berpangkalan di Bayan Baru, Pulau Pinang itu kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih bagi tahun kewangan sebelumnya hanya RM35.9 juta.
Lonjakan prestasi ini didorong pecutan permintaan terhadap harta intelek (IP) silikon dan produk silikon, yang berkembang pesat selari dengan pembinaan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) secara global.
"Hasil keseluruhan pula RM155.0 juta, iaitu peningkatan 29.7% daripada RM119.5 juta pada FY25," kata SkyeChip yang terlibat aktif dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) sejak ditubuhkan pada 2019.
Pertumbuhan ini disokong kuat oleh segmen IP silikon yang naik 39.3% kepada RM119.4 juta, susulan pertambahan pangkalan pelanggan kepada 26 syarikat berbanding hanya 14 pelanggan pada FY25.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Bebasnya, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, kepelbagaian pasaran geografi turut memperkukuh daya tahan model perniagaan syarikat berkenaan sepanjang FY26.

Ujarnya dalam laporan tahunan sulung SkyeChip selepas penyenaraian pada 20 Mei 2026, penembusan pasaran baharu di Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menyumbang 24.1% daripada jumlah hasil.
"Tahun 2026 merupakan tahun bersejarah bagi syarikat selepas berjaya disenaraikan di Pasaran Utama dengan meraih pendapatan permodalan kasar yang mencecah sebanyak RM352.0 juta," jelas beliau lagi.
Dana tersebut kata Siew Hai, diperuntukkan terutamanya untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk IC dan IP silikon, serta pengembangan infrastruktur pengkomputeran syarikat berkenaan.
Melangkah ke hadapan, pengurusan SkyeChip menyatakan keyakinan terhadap prospek jangka panjang dengan tumpuan kepada pembangunan IP memori generasi seterusnya seperti LPDDR6 dan HBM4.
Syarikat tersebut juga tambah beliau, merancang mengembangkan kehadiran global dengan mewujudkan pejabat R&D serta jualan baharu di Jepun dan AS bagi terus bersaing di peringkat antarabangsa.
Setakat ini, kumpulan itu sudah memiliki 113 paten yang difailkan dan sahamnya turut diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). - DagangNews.com








