SKM Perak jadi platform pacu ekonomi usahawan, koperasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SKM Perak jadi platform pacu ekonomi usahawan, koperasi

SKM Perak melalui pelbagai koperasi giat menjalankan program jualan pada harga berpatutan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 21 Feb - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Perak komited untuk terus memperkasa gerakan koperasi di negeri ini sebagai platform memajukan ekonomi.

 

Langkah itu bagi memastikan sektor koperasi dapat dijadikan sebagai medium meningkatkan pendapatan dan tahap sosioekonomi rakyat khususnya golongan B40.

 

Pengarah SKM negeri Perak, Zuhaini Romli berkata, sebanyak RM709,990 geran bantuan pembangunan koperasi diberikan kepada 25 koperasi negeri Perak pada tahun lalu.

 

Perak
Pengarah SKM Perak, Zuhaini Romli.

 

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM yang sentiasa komited dalam membangunkan gerakan koperasi di negeri Perak turut meluluskan RM10 juta pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan SKM tahun lalu.

 

“Ini antara usaha SKM untuk memacu koperasi-koperasi di Perak yang mana peluang ini menjadikan penyertaan masyarakat dalam koperasi dapat menjadi agenda perubahan,” ujarnya kepada DagangNews.

 

Sehingga tahun 2023 terdapat 1,734 buah koperasi di Perak dengan jumlah aset sebanyak RM1.549 bilion manakala perolehan pula berjumlah RM694.15 juta.

 

Jelas Zuhaini, kerjasama erat antara SKM dan kerajaan negeri menunjukkan usaha yang baik apabila statistik menunjukkan hampir 15% penduduk Perak menyertai koperasi melibatkan pelbagai peringkat usia.

 

Perak
Koperasi terlibat dalam program jualan terus kepada pengguna.

 

Perak

 

Katanya, keunikan koperasi itu sendiri menjadikan gerakan koperasi sebagai platfom yang sangat signifikan dalam membangunkan sosio ekonomi komuniti.

 

Penglibatan koperasi dalam aktiviti ekonomi ini sememangnya menyokong kepada pelan pembangunan seperti Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030), TransKOM dan juga Perak Sejahtera 2030. 

 

“Perkara ini secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi negara secara amnya.

 

“Program-program pembangunan, kawal selia yang dijadualkan telah diselaraskan dengan kerjasama strategik kerajaan negeri dan agensi-agensi.

 

Perak

 

“Antaranya Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi peringkat daerah yang merupakan serampang dua mata dalam usaha SKM dan kerajaan Perak membantu koperasi khasnya, mewar-warkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

 

“Tidak ketinggalan program kemasyarakatan iaitu SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir yang melanda negara baru-baru ini,” ujarnya. - DagangNews.com