Skim insurans perubatan asas tangani kos penjagaan kesihatan dipertimbang - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skim insurans perubatan asas tangani kos penjagaan kesihatan dipertimbang - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jun — Kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans perubatan asas untuk meringankan beban kewangan tinggi akibat peningkatan kos penjagaan kesihatan kepada orang ramai.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jawatankuasa bersama terdiri Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan ditubuhkan bagi mengkaji isu itu.


Katanya, inflasi perubatan merupakan kebimbangan ketara kepada rakyat dan untuk menangani perkara itu, kerajaan telah mengumpulkan pelbagai pihak berkepentingan melalui jawatankuasa tersebut.


"Kami berhasrat serius bagi meneroka cara terbaik mengurangkan kesan peningkatan kos perubatan," kata beliau pada pelancaran inisiatif kewangan Belanjawan 2025 anjuran SME Bank Berhad hari ini.


Menurut Amir Hamzah, antara cadangan dibincangkan jawatankuasa itu setakat ini ialah pengenalan caruman menerusi akaun kedua di bawah produk Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).


Perbincangan berkenaan tambahnya, sedang berjalan untuk membangunkan skim insurans asas untuk rakyat Malaysia dan beliau menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai strukturnya.


MHIT, yang menjadi teras perbincangan jawatankuasa itu, dirancangkan untuk menawarkan akses mampu milik ke atas rakyat Malaysia terhadap pelan insurans atau takaful perubatan dan kesihatan.


"Biar pihak berkenaan, termasuk Bank Negara, mempertimbangkan untuk mencari pendekatan terbaik. Sebaik sahaja cadangan dimuktamadkan, ia akan dibentangkan secara terperinci," jelas Amir Hamzah.


Bagaimanapun katanya, dengan kos perubatan mengatasi kadar inflasi umum, kerajaan berhasrat untuk mempertingkatkan skim itu bagi memastikan ia terus memenuhi keperluan awam dengan lebih berkesan.


Mengenai potensi kemasukan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam cadangan MHIT itu, beliau menambah, semua saranan daripada pelbagai pihak memang sedang dipertimbangkan.


Hasil perbincangan dan struktur dicadangkan jawatankuasa itu kata Amir Hamzah, akan diumumkan kerajaan selepas perundingan lebih menyeluruh diadakan dengan pihak berkepentingan berkaitan.


"Namun, buat masa ini, kami membenarkan Bank Negara dan agensi terlibat untuk membincangkan cara yang paling berkesan mewujudkan produk insurans asas untuk negara," katanya. - DagangNews.com