Sin-Kung Logistics failkan timbang tara terhadap Teleport berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian eksklusif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sin-Kung Logistics failkan timbang tara terhadap Teleport berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian eksklusif

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 JanSin-Kung Logistics Berhad (SKL) hari ini memfailkan Notis Timbang Tara terhadap Teleport Everywhere Pte. Ltd. berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian eksklusif bagi perkhidmatan pengangkutan kargo untuk penerbangan AirAsia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SKL berkata prosiding timbang tara itu dimulakan di bawah Peraturan Timbang Tara Asian International Arbitration Centre (AIAC) 2021, berpunca daripada Perjanjian Operator Pengangkutan Lori bertarikh 30 Januari 2023 antara kedua-dua pihak.

 

Di bawah perjanjian tersebut, SKL telah dilantik sebagai operator pengangkutan lori eksklusif untuk mengendalikan pengangkutan kargo bagi penerbangan di bawah Capital A Berhad (AirAsia) bagi laluan tertentu di Malaysia dan Singapura.

 

Menurut SKL, pertikaian timbul apabila Teleport didakwa melanggar peruntukan eksklusiviti perjanjian dengan melantik operator pihak ketiga lain, selain memperkenalkan model baharu “multi-penyedia” yang melibatkan beberapa syarikat pengangkutan lori untuk operasi kargo AirAsia.

 

Pada 5 Disember 2025, SKL melalui peguamcara telah mengeluarkan notis kepada Teleport bagi menuntut supaya pelanggaran itu diperbetulkan dalam tempoh 60 hari.

 

Bagaimanapun, Teleport dalam maklum balas bertarikh 9 Disember 2025 menafikan berlakunya pelanggaran dan menegaskan bahawa perjanjian tersebut adalah tidak eksklusif.

 

Dalam prosiding timbang tara itu, SKL menuntut beberapa relif termasuk perisytiharan bahawa ia merupakan operator eksklusif di bawah perjanjian berkenaan, perisytiharan pelanggaran oleh Teleport, serta pelepasan daripada obligasi lanjut di bawah perjanjian tersebut.

 

SKL turut menuntut pampasan kerugian, termasuk kehilangan keuntungan dianggarkan sekitar RM4 juta setahun, serta kos sekurang-kurangnya RM7 juta yang telah dan sedang ditanggung bagi memenuhi kewajipannya, termasuk pembelian lori dan penempatan kakitangan khusus.

 

SKL menegaskan prosiding timbang tara itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi dan kedudukan kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026- DagangNews.com