Sime Darby Property, ESR tambah 2.2 juta kaki persegi ruang gudang moden di Taman Logistik E-Metro, Bukit Raja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property, ESR tambah 2.2 juta kaki persegi ruang gudang moden di Taman Logistik E-Metro, Bukit Raja

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sime Darby Property Bhd bersama rakan usaha samanya, ESR terus memperkukuh kedudukan Bandar Bukit Raja sebagai hab perindustrian dan logistik utama negara menerusi pembesaran Taman Logistik E-Metro dengan pembinaan dua lagi kemudahan logistik Gred A.

 

Pembesaran itu akan menambah lebih 2.2 juta kaki persegi ruang gudang moden, sekali gus meningkatkan keseluruhan portfolio logistik pembangunan berkenaan kepada lebih 4.2 juta kaki persegi apabila Metrohub 3 dan Metrohub 4 siap kelak.

 

Langkah itu dibuat susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan logistik moden, selain kejayaan Metrohub 1 dan Metrohub 2 yang telah mencapai kadar penghunian 100%.

 

Kedua-dua kemudahan itu kini disewa oleh syarikat daripada sektor e-dagang, logistik pihak ketiga (3PL) dan rantaian bekalan yang berkhidmat untuk pasaran domestik serta antarabangsa.

 

Terletak berhampiran Pelabuhan Klang dan dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya utama di Lembah Klang, E-Metro Logistics Park menjadi pilihan syarikat multinasional yang memerlukan kemudahan logistik berkapasiti tinggi dan strategik.

 

Metrohub 4 yang mempunyai keluasan kira-kira 1.38 juta kaki persegi bakal muncul sebagai gudang berbilang penyewa siap bina terbesar dalam pembangunan itu.

 

Malah, rangkaian minuman global Mixue telah lebih awal mendapatkan 13.4% daripada keluasan bersih boleh disewa (NLA) di Metrohub 4 bagi menempatkan pusat pengedaran serantaunya.

 

Gudang Penyimpanan Khas 

Sementara itu, Metrohub 3 yang dijadualkan siap pada suku ketiga 2027 akan menyediakan kira-kira 840,000 kaki persegi ruang gudang merangkumi dua blok bangunan.

 

Kemudahan itu turut dilengkapi stor penyimpanan khas bagi barangan berbahaya untuk memenuhi peningkatan permintaan susulan pertambahan import komponen kenderaan elektrik (EV), termasuk bateri litium.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, Taman Logistik E-Metro merupakan komponen penting dalam ekosistem perindustrian Bandar Bukit Raja.

 

"Apabila kedua-dua Metrohub siap, portfolio Taman Logistik E-Metro akan melebihi 4.2 juta kaki persegi ruang gudang moden, sekali gus memperkukuh portfolio kami ke arah kemudahan logistik bertaraf institusi dan berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan syarikat multinasional," katanya.

 

Ketua ESR Malaysia, David Aboud berkata, kadar penghunian penuh Metrohub 1 dan Metrohub 2 serta komitmen penyewaan awal di Metrohub 4 membuktikan permintaan pasaran yang kukuh terhadap kemudahan logistik moden.

 

Beliau berkata, perkembangan itu mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur dan syarikat global yang mahu memperluaskan rangkaian logistik mereka di Asia Tenggara. - DagangNews.com