KUALA LUMPUR 27 Ogos - Untung bersih Sime Darby Bhd bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25) melonjak lebih lapan kali ganda kepada RM763 juta daripada RM89 juta pada tahun sebelumnya didorong keuntungan daripada pelupusan tanah sebanyak RM443 juta selain sumbangan daripada Sime UMW serta kos pinjaman yang lebih rendah.
Hasil bagi suku tersebut susut 5.53% kepada RM17.8 bilion berbanding RM18.84 bilion sebelum ini, walaupun hasil UMW meningkat sebanyak 63.16% kepada RM279 juta daripada RM171 juta setahun lalu.
Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 September.
Ia menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) sebanyak 14 sen sesaham atau RM954 juta.
Bagi tahun keseluruhan, untung bersih merosot 37.58% kepada RM2.06 bilion daripada RM3.3 bilion, disebabkan ketiadaan keuntungan luar biasa sebanyak RM2 bilion hasil penjualan perniagaan penjagaan kesihatan dalam FY24.
Bagaimanapun, pendapatan tahunan meningkat sebanyak 4.48% kepada RM70 bilion berbanding RM67 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, prestasi tersebut menunjukkan ketahanan portfolio Sime Darby walaupun berdepan keadaan pasaran yang mencabar, terutamanya pertumbuhan yang perlahan dan persaingan yang semakin sengit dalam sektor automotif di China.
"Namun begitu, jualan kenderaan elektrik (EV) telah menunjukkan peningkatan di Singapura, yang memberi manfaat kepada jenama EV nombor satu di negara itu, iaitu BYD.
"Tractors Malaysia, yang menjual dan menyelenggara peralatan Caterpillar, turut mencatatkan peningkatan keuntungan hasil jualan alat ganti dengan margin yang lebih baik serta projek pusat data," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, walaupun bahagian Industri Australasia terkesan oleh harga alat ganti yang lebih rendah dan kelemahan mata wang dolar Australia, ia kekal sebagai penyumbang terbesar bahagian itu dan berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada perkembangan industri sumber asli di Australia.
"Dengan Sime UMW, kami dapat memanfaatkan kekuatan dua jenama automotif terkemuka di Malaysia, iaitu Perodua dan Toyota," katanya, sambil menyatakan bahawa kumpulan telah mencatat pertumbuhan yang stabil sejak tujuh tahun lalu selepas proses penyusunan semula.
Jeffri berkata, Sime Darby telah mengambil langkah proaktif untuk mengoptimumkan inventori, mengurangkan kos, merampingkan operasi, menambah baik aliran tunai operasi dan mengukuhkan kedudukan kewangan.
"Walaupun masih terdapat cabaran, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk mengekalkan kedudukan pasaran yang kuat dan memacu pertumbuhan yang mampan," tambahnya. - DagangNews.com








