Kementerian Pertahanan (MINDEF) semalam mengumumkan pelantikan 4 jawatan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berstatus jeneral 3 bintang dalam penyusunan perjawatan utama.
Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri kini menyandang sebagai Ketua Staf Markas ATM yang baharu.
Dalam hierarki perjawatan ATM, Ketua Staf Markas ATM adalah pegawai kanan tertinggi kedua selepas Panglima ATM (PAT).
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB).

Panglima PAB pula berada pada hierarki ketiga dalam ATM.
Penyandang terdahulu, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin dari TUDM pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif MiDAS.
Menggantikan Tengku Muhammad Fauzi sebagai TPTD ialah Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad yang dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral.
Beliau sebelum ini adalah Panglima 3 Divisyen Infantri iaitu divisyen gabungan tempur utama Tentera Darat Malaysia.
MINDEF dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 Januari telah memperkenan pelantikan pegawai-pegawai kanan berkenaan.



Ia bagi mengisi beberapa jawatan utama ATM selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lepas.
MINDEF juga memaklumkan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara
Dengan pelantikan 4 jawatan kanan tersebut, kini satu jawatan utama yang masih belum diisi adalah PAT.
Penyandang sebelumnya, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar mula bercuti pada 1 Januari lalu sebelum bersara wajib pada bulan Ogos.
Dalam ATM, hanya panglima perkhidmatan sahaja merupakan jeneral 4 bintang yang lazimnya adalah calon untuk diangkat sebagai PAT.
Memandangkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman baru dilantik sebagai PTD ke-31 pada 1 Januari lalu, maka adalah janggal sekiranya beliau menjadi calon PAT.



Ini menyaksikan 2 calon paling hampir iaitu Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, 59, kini Panglima TUDM dan Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, 58, selaku Panglima TLDM.
Zulhelmy juga memangku tugas PAT berkuat kuasa Disember 2025 berikutan persaraan Mohd Nizam.
Persoalannya adakah beliau akan dipilih seterusnya sebagai PAT? Mungkin ya atau tidak.
Muhamad Norazlan yang berasal dari Kota Tinggi, Johor dilantik sebagai Panglima TUDM pada 26 Jun 2025 menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Ashgar Goriman Khan manakala Zulhelmy, anak kelahiran Kuala Lumpur pula menerajui TLDM pada September 2024 menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Cuma, sekiranya kekananan atau faktor ‘senioriti’ perkhidmatan iaitu siapa paling awal menyertai ATM dijadikan ukuran, Muhamad Norazlan adalah lebih ‘senior’ kerana beliau mengikuti latihan pegawai kadet pada 1985 manakala Zulhelmy pada 1986.

Pencapaian kerjaya kedua-dua jeneral 4 bintang ini juga cukup memberangsangkan di mana Muhamad Norazlan merupakan juruterbang pesawat tempur dan Zulhelmy sebagai ahli kapal selam atau ‘submariner’.
Muhamad Norazlan atau ‘call sign’ Giro dalam kalangan juruterbang TUDM berpengalaman menerbangkan pesawat pejuang seperti MiG-29N/UB dan Sukhoi 30MKM.
Beliau juga adalah bekas pegawai memerintah skuadron Sukhoi, menjadi Panglima Operasi Udara (2022) dan Timbalan Panglima Tentera Udara (2022-2025).
Zulhelmy pula menempuh perjalanan panjang dalam bidang pertahanan maritim terutama dalam bidang kapal selam selepas berjaya memperoleh kepakaran pada tahun 1993 di Platypus, Australia.
Antara pencapaian penting beliau adalah membawa pulang kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis pada 2009 serta memegang jawatan utama seperti Panglima Wilayah Laut 1 dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional.


Mengikut tradisi sejak tahun 1956, jawatan PAT atau masa itu dikenali sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera diisi oleh jeneral dari Tentera Darat kerana operasi ketenteraan adalah didominasi oleh ketumbukan di darat.
Pelantikan jawatan nombor satu ATM ditentukan menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada tahun 2005, penggiliran jawatan PAT diperkenalkan sejajar dengan perubahan corak operasi ketenteraan masa hadapan yang berfokus kepada konsep operasi bersama (joint operation).
Operasi bersama dalam konteks angkatan tentera melibatkan kerjasama antara pelbagai cabang atau perkhidmatan tentera seperti tentera darat, tentera laut dan tentera udara.
Bermula tempoh itu penggiliran jawatan PAT adalah mengikut sistem rotasi antara TDM, TLDM dan TUDM untuk memastikan kepimpinan tertinggi ATM bergilir, selaras dengan tradisi ATM.


Hingga sekarang Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor merupakan satu-satunya dari TLDM yang dilantik sebagai PAT iaitu pada 2005, manakala kali terakhir jawatan itu diisi oleh TUDM ialah Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 2020.
Bagaimana pun, pelantikan Mohd Nizam, jeneral 3 bintang sebagai PAT sebelum ini dilihat sebagai kelainan dan dari luar barisan ketua perkhidmatan sedia ada.
Ini juga menunjukkan bahawa ada ketikanya pelantikan PAT berubah mengikut peredaran masa dan keperluan negara. - DagangNews.com








