KUALA LUMPUR 26 Jun — Datuk Shahriman Shamsuddin melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Sapura Energy Berhad berkuat kuasa serta-merta.
Kumpulan itu berkata, pengunduran beliau yang memegang 11.25% kepentingan tidak langsung dalam Sapura Energy melalui Sapura Holdings Sdn Bhd, disebabkan ada komitmen lain.
Berdasarkan laporan tahunan terbaharu syarikat tersebut, Shahriman bersama-sama abangnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin memegang ekuiti secara tidak langsung dalam kumpulan itu.
Dua beradik itu terdahulu dilaporkan dalam pertelingkahan keluarga, yang mula terdedah setelah Shahriman memfailkan petisyen pada September 2024 bagi menggulung Sapura Holdings.
Syarikat berkenaan merupakan jentera pelaburan persendirian keluarga tersebut dengan Shahriman mendakwa tindakan itu dilaksanakannya untuk pengagihan aset yang adil.
Bagaimanapun, Shahril kemudian menentang langkah dilakukan oleh adiknya itu dan kes berprofil tinggi tersebut masih lagi dalam perbicaraan di peringkat mahkamah.
Peletakan jawatan Shahriman juga dibuat sejurus selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dua kes berasingan melibatkan Sapura Energy.
Satu ialah penyalahgunaan RM12 juta dalam dana syarikat pada 2018, dan satu lagi kes rasuah AS$3.3 juta (RM14 juta) pada 2011, ketika ia dikenali sebagai SapuraCrest Petroleum Berhad.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes 2018 itu telah dijalankan oleh pihaknya mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Peruntukan itu menetapkan adalah menyalahi undang-undang bagi sesiapa sahaja menyalahgunakan kedudukan mereka dalam badan awam untuk kepentingan peribadi.
Siasatan tersebut tambah beliau, berpunca daripada isu pelaburan Permodalan Nasional Berhad ke dalam Sapura Energy pada tahun berkenaan.
Bagi kes 2011, Azam berkata ia siasatan berasingan melibatkan dakwaan rasuah oleh sebuah firma berpangkalan di Brazil kepada 'seorang CEO' bagi mendapatkan projek SapuraCrest Petroleum.
Shahriman menjadi pengarah syarikat itu dari 2008 hingga 2012, apabila ia bergabung dengan Kencana Petroleum Group untuk menjadi SapuraKencana Petroleum Berhad.
Sementara itu, Shahril pula mengasaskan kumpulan itu dan menerajuinya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan selama 25 tahun, sebelum bersara pada Mac 2021.
SapuraKencana Petroleum kemudian telah dinamakan semula sebagai Sapura Energy bermula pada 2017. - DagangNews.com








