KUALA LUMPUR 28 Jan - Firma penasihat teknologi dan pelaburan, GP Bullhound mengumumkan pelantikan Shahril Hamdan sebagai Ketua Asia Tenggara baharu firma itu dan Pengarah Urusan pejabat Kuala Lumpur.
"Saya sangat teruja untuk menyertai GP Bullhound dan memimpin usaha di Asia Tenggara. Sebagai pelabur teknologi global khusus yang berpangkalan di Eropah, saya percaya kami mempunyai banyak tawaran untuk rantau ini.
"Begitu juga, trajektori pertumbuhan dinamik Asia Tenggara memberikan peluang unik untuk mereka yang boleh membina jambatan antara idea, modal dan peluang," kata Shahril dalam siaran terbaharu Linkedin syarikat itu.
Menurut laman web GP Bullhound, Shahril akan memberi fokus kepada pasaran Asia Tenggara, rantau pertumbuhan yang dipercayai semakin penting di dunia.
Shahril mempunyai kerjaya yang berbeza-beza merentasi sektor awam dan swasta, termasuk perkhidmatan dalam kerajaan Malaysia sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.
Sementara itu, beliau juga pernah berkhidmat selama lima tahun di McKinsey and Company dengan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan ekuiti multinasional dan swasta di seluruh Asia Tenggara dan kemudian menjalankan perniagaan sendiri sebagai penasihat pasaran.
Di samping kerjanya dengan GP Bullhound, Shahril merupakan hos bersama dan pemilik syarikat podcast, di mana dia gemar menyediakan program bual bicara menarik kepada orang ramai.
Shahril memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Manchester dan Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pasca Kolonial dari London School of Economics.
GP Bullhound merupakan firma penasihat teknologi dan pelaburan, memberikan nasihat transaksi dan modal kepada usahawan dan pengasas terbaik dunia.
Ditubuhkan pada 1999 di London dan Menlo Park, firma itu hari ini mempunyai 13 pejabat di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Asia.- DagangNews.com








