KUALA LUMPUR 4 Mei – Seorang setiausaha syarikat dikenakan hukuman denda berjumlah RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta Akta Syarikat 2016.
Tertuduh, Ardzlyn Hawatul Yuhanis Uyob@Ayob, mengaku bersalah atas kegagalan mengemukakan dua Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta memberikan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan pelantikan pengarah sebuah syarikat.
BNM dalam satu kenyataan memaklumkan kesalahan berkenaan melibatkan transaksi yang dikaitkan dengan warganegara asing menerusi MB International Sdn Bhd dan Ascent GT Sdn Bhd.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan pada prosiding 15 April 2026.
Sebelum ini, BNM bersama SSM menjalankan siasatan bersama berhubung beberapa setiausaha syarikat yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.
Justeru, BNM turut menegaskan kepentingan pematuhan ketat terhadap obligasi pelaporan di bawah AMLA bagi mengelakkan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan jenayah lain.
Menurut BNM, institusi pelapor perlu memastikan kawalan dalaman yang kukuh kerana kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan di mahkamah. - DagangNews.com








