KUALA LUMPUR 30 Dis - Sentoria Group Berhad telah menerima Notis Tuntutan pada 29 Disember 2025 daripada firma guaman Messrs Bernard Chiew & Associates, yang bertindak bagi pihak ZSC Engineering Equipment (M) Sdn. Bhd. selaku pemiutang.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sentoria berkata, syarikat itu dikehendaki membayar jumlah keseluruhan RM209,413.48 setakat 26 Disember 2025, berikutan Penghakiman Lalai bertarikh 23 Disember 2025 yang diperoleh terhadap syarikat itu.
Sekiranya syarikat gagal mematuhi terma notis tersebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan bagi mendapatkan penyelesaian atau perjanjian pembayaran yang memuaskan Pemiutang, syarikat akan dianggap tidak mampu membayar hutangnya mengikut maksud Seksyen 465(1)(e) Akta Syarikat 2016, dan tindakan undang-undang untuk melikuidasi syarikat boleh dimulakan.
Pada 15 Disember lalu, Sentoria Harta Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Sentoria Group telah menerima Penghakiman Tertutup bertarikh 10 November 2025 pada 15 Disember 2025 daripada firma guaman Messrs Shahinuddin & Ranjit, bertindak bagi pihak Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Defendan Pertama dikehendaki membayar KWSP:
RM58,856.00 bagi caruman KWSP tertunggak untuk tempoh Februari 2025 hingga Jun 2025;
Dividen ke atas caruman KWSP bagi tempoh sama, mengikut kadar yang ditetapkan KWSP dari 16 Februari 2025 sehingga tarikh penyelesaian;
Caj lewat ke atas caruman KWSP bagi tempoh sama, mengikut kadar dan kaedah pengiraan yang ditentukan KWSP dari 16 Februari 2025 sehingga tarikh penyelesaian; dan
Kos tindakan sebanyak RM2,206.00. - DagangNews.com








