KUALA LUMPUR 7 Nov – Portal berita seni Senimalaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Autum Mosaic Art Centre yang berpangkalan di Xiamen, China bagi melaksanakan inisiatif pertukaran kreatif dan pengembangan pasaran seni kontemporari antara Malaysia–China.
Perjanjian itu dimeterai pada 4 November bersempena pameran “Art Beyond National Boundaries: ASEAN Tour of Young Contemporary Artists from China”, sekali gus menandakan permulaan kerjasama seni rentas negara bernilai tinggi yang melibatkan pertukaran, pembangunan pasaran dan perlindungan hak cipta (IP).
Ketua Editorial Senimalaya, Irwan Muhammad Zain berkata, MoU itu menjadi pemangkin penting kepada ekosistem seni kontemporari Malaysia, yang bukan sahaja memberi ruang kepada seniman muda menonjol di pentas antarabangsa, tetapi turut membuka laluan ekonomi baharu kepada industri kreatif tempatan.
“MoU ini mungkin kelihatan kecil di atas kertas, namun besar maknanya kepada ekosistem seni tempatan, ia membuka pintu kepada seniman Malaysia menembusi pasaran China, sekali gus memperkukuh jaringan budaya dan ekonomi kreatif rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
MoU tersebut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, pertama, program residensi seniman muda Malaysia–China bermula 2026 dengan pertukaran tahunan antara Xiamen dan Kuala Lumpur; kedua, pembentukan platform seni belia Asia Tenggara di Kuala Lumpur; dan ketiga, akses pasaran seni serta perlindungan IP bagi seniman kedua-dua negara.
Irwan turut mendedahkan, MoU kedua turut dimeterai bagi memperluaskan pasaran seni Malaysia ke China melalui platform penstriman langsung atas talian, selaras dengan tren globalisasi ekonomi seni digital.
“Usaha ini bukan sekadar soal jualan karya, tetapi juga jaringan profesional, pertukaran budaya dan pengiktirafan rentas sempadan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kreatif Senimalaya, Rahim Sadri berkata, kerjasama strategik ini bakal membuka ruang baharu kepada seniman muda Malaysia dan China meneroka pasaran serantau yang lebih luas, dengan potensi limpahan ekonomi kepada industri kreatif domestik.
“Ini bukan sekadar kolaborasi seni, tetapi juga langkah penting dalam mewujudkan ekosistem ekonomi kreatif yang lebih berdaya saing,” katanya.
Majlis menandatangani MoU itu turut diserikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, yang merasmikan pameran membariskan 40 seniman muda China dengan hampir 100 karya seni.
Menurut beliau, hubungan seni dan budaya antara Malaysia dan China kini mencerminkan perkembangan hubungan dua hala yang lebih menyeluruh, merangkumi bukan sahaja perdagangan dan teknologi tetapi juga diplomasi budaya.
“Seni bukan sekadar bentuk soft diplomacy, ia juga jambatan emosi yang mempertemukan strategi dan naratif bangsa,” katanya.
Pameran tersebut berlangsung di Ruang Teduh, Kuala Lumpur sehingga 25 November, dibuka setiap hari kecuali Ahad dari 11 pagi hingga 7 malam. - DagangNews.com








