KUALA LUMPUR 24 April - NexG Berhad menegaskan semua maklumat berkaitan pelaburan, termasuk rasional, struktur serta perkembangan korporat, telah didedahkan secara sewajarnya melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian.
Syarikat peneraju dalam bidang rumusan teknologi selamat dan pengenalan digital itu menambah, pendedahan dan pengumuman juga dilakukan menerusi komunikasi awam lain.
Tambahnya, pendedahan tersebut dibuat secara tepat pada masanya dan telus, mencerminkan pematuhan berterusan terhadap piawaian kawal selia serta amalan terbaik dalam tadbir urus korporat.
“Syarikat akan terus memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa kawal selia atau penguatkuasaan sekiranya penjelasan atau semakan diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini mengulas memorandum daripada Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Antara lain memorandum itu mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Nordin memberi penjelasan terbuka mengenai dakwaan salah guna dana syarikat berjumlah lebih RM300 juta.
Kenyataan itu menambah, syarikat memandang serius isu yang dibangkitkan berhubung pelaburannya dan kekal komited terhadap prinsip ketelusan, tadbir urus korporat yang baik serta pematuhan kepada semua keperluan peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, NexG berkata ia tidak akan membuat sebarang ulasan awam lanjut berhubung dakwaan khusus ketika ini bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak.
Langkah tersebut, menurut syarikat, adalah selaras dengan amalan tadbir urus yang baik serta bagi memastikan sebarang proses penilaian dapat dijalankan secara teratur dan telus. - DagangNews.com








