Selgate buka hospital pakar pertama di Rawang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selgate buka hospital pakar pertama di Rawang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Okt – Selgate Corporation mencatat satu pencapaian penting dengan pembukaan Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang), pusat penjagaan kesihatan swasta utama pertama syarikat itu di Selangor. 

 

Hospital baharu itu menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, mudah diakses dan berasaskan belas ihsan untuk masyarakat di seluruh negeri.

 

Bagi meraikan kejayaan itu, SSH Rawang akan menganjurkan hari terbuka pada 24 hingga 26 Oktober ini bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang dengan tawaran pemeriksaan kesihatan asas percuma seperti ujian indeks jisim badan (BMI), tekanan darah dan ujian glukosa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah, Kumpulan Hospital Selgate, Miranda Harumal berkata, SSH Rawang adalah kemuncak perjalanan Selgate selama sedekad dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia. 

 

“Kumpulan ini bermula melalui jenama Selcare yang meliputi rangkaian klinik perubatan am, klinik pergigian, makmal diagnostik, farmasi dan perkhidmatan kejururawatan di rumah.

 

“Selcare turut mengurus pelbagai program kebajikan dan kesihatan negeri untuk Kerajaan Selangor, termasuk SELVAX dan Selangor Saring, yang  memberi manfaat kepada lebih 500,000 penduduk.

 

“Inovasi digital Selgate melalui aplikasi Selangkah membolehkan rakyat Malaysia mengakses penjagaan kesihatan secara lebih mudah semasa pandemik, termasuk penjejakan kesihatan masa nyata, penjadualan vaksinasi, serta interaksi dengan klinik dan penyedia perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t

 

Pelancaran SSH Rawang kini menggabungkan kepakaran digital, operasi dan komuniti dalam sistem hospital bersepadu sepenuhnya melalui aplikasi ini.

 

SSH Rawang menjadi penanda aras bagi hospital Selgate akan datang di Sepang dan Setia Alam yang dijadualkan dibuka pada 2026. 

 

Ia adalah sebahagian daripada aspirasi Selgate untuk memperkukuh ekosistem khidmat penjagaan kesihatan di Selangor.

 

Hospital ini terletak di Persiaran Anggun Ria, Sungai Bakau, Rawang dengan keluasan kira-kira 261,000 kaki persegi dan 224 katil.

 

Lebih 500 petak disediakan untuk kemudahan meletak kenderaan dalam memastikan akses dan keselesaan pesakit dan pengunjung.

 

SSH Rawang menempatkan pelbagai kepakaran dan perkhidmatan diagnostik termasuk ortopedik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan kardiologi pediatrik, oftalmologi, ENT, pembedahan bariatrik, pembedahan mikro dan tangan, pembedahan am, perubatan am, perubatan dalaman, radiologi dan anestesiologi.

 

t

 

t

 

Reka bentuk hospital menekankan keselesaan dan kebolehcapaian, dengan ruang menunggu mesra keluarga serta sistem digital bersepadu yang memudahkan proses janji temu, kemasukan dan rundingan susulan pesakit.

 

Selain kemudahan moden, SSH Rawang turut memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui kerjasama dengan kumpulan komuniti tempatan dan menjadi penaja utama Rawang Marathon yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2025.

 

Beliau berkata, pembukaan SSH Rawang mencerminkan komitmen syarikat untuk mentakrif semula pengalaman penjagaan kesihatan di Malaysia dengan gabungan kecemerlangan klinikal dan sentuhan insani.

 

“Hospital ini menjadi sebahagian daripada strategi Selgate untuk memperluas akses dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Selangor, dengan pelancaran hospital baharu di Sepang dan Setia Alam pada 2026.

 

“Selgate menjemput penduduk Rawang dan kawasan sekitar untuk mengunjungi hospital dan menyertai Karnival Pembukaan dari 24 hingga 26 Oktober 2025. 

 

“Program karnival termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, baucar diskaun untuk 100 pengunjung pertama, aktiviti kanak-kanak, ceramah kesihatan dan reruai pembelajaran interaktif,” katanya. - DagangNews.com