Sektor pembuatan Malaysia semakin pulih, PMI meningkat ke paras tertinggi sejak Februari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia semakin pulih, PMI meningkat ke paras tertinggi sejak Februari

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

 

KUALA LUMPUR 1 Julai – Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia meningkat kepada 49.3 pada Jun berbanding 48.8 pada Mei iaitu paras tertinggi yang direkodkan sejak Februari lalu.

 

Data indeks berdasarkan tinjauan S&P Global itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang semakin positif dan memberangsangkan untuk sektor pembuatan Malaysia.

 

Firma penyelidikan pasaran global itu berkata, bacaan PMI tersebut mencerminkan pertumbuhan sederhana dalam statistik rasmi Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) untuk suku pertama 2025 yang berterusan ke suku kedua. 

 

"Data turut menunjukkan pengembangan dalam pengeluaran sektor pembuatan yang berterusan sepanjang suku kedua.

 

"Sebahagian firma melaporkan permintaan semakin pulih secara beransur-ansur, walaupun keyakinan pelanggan masih lemah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, S&P Global juga melaporkan terdapat sebahagian pengilang turut meningkatkan tahap pengambilan pekerja pada Jun 2025.

 

Katanya, peningkatan kecil dalam tenaga kerja itu membolehkan syarikat mengurangkan tugasan tertangguh untuk bulan ke-11 berturut-turut.

 

"Namun, aktiviti pembelian terus menyusut, menjadikan tempoh penurunan kepada 34 bulan berturut-turut. 

 

"Inventori input kekal stabil apabila firma memilih mengekalkan paras stok bagi menghadapi kemungkinan kenaikan harga dan kelewatan bekalan," katanya.

 

S&P Global melaporkan, sebahagian pengeluar optimis bahawa pelancaran produk baharu akan merangsang jualan dan produktiviti syarikat mereka.

 

"Namun, kebimbangan terhadap kesihatan ekonomi global dan kesannya terhadap permintaan kekal membelenggu sentimen pasaran.

 

"Walaupun pengeluaran sektor pembuatan dijangka mengembang sepanjang suku kedua, ketidakpastian global serta tekanan kos yang meningkat boleh menguji keupayaan pengilang untuk mengekalkan momentum pemulihan operasi," katanya.

 

Selain itu, kenaikan kos input dan peningkatan harga output dijangka memberi kesan terhadap trend inflasi pada bulan-bulan akan datang.

 

"Meskipun sektor ini mula menunjukkan tanda-tanda kestabilan, kadar pemulihan dilihat masih rapuh dan bergantung kepada landskap ekonomi global yang terus mencabar," katanya.- DagangNews.com