KUALA LUMPUR 16 Mac – Prospek industri pembinaan negara dijangka kekal positif dalam tempoh terdekat, disokong oleh buku pesanan yang kukuh serta aliran projek infrastruktur dan pembangunan pusat data (DC) yang stabil, walaupun prestasi pendapatan dalam kalangan kontraktor menunjukkan keputusan bercampur-campur sejak beberapa suku kebelakangan ini.
Menurut BIMB Securities, sektor tersebut terus disokong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital selain pelaksanaan projek awam berskala besar di seluruh negara.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek industri kekal optimistik memandangkan kontraktor masih mempunyai buku pesanan yang kukuh selain pipeline projek melibatkan pusat data, rel, lebuh raya dan infrastruktur air yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor pembinaan selepas menilai kumpulan terkini keputusan suku tahunan syarikat kontraktor di bawah liputannya.
Bagaimanapun, prestasi kewangan dalam kalangan syarikat pembinaan tidak sekata.
Daripada tujuh syarikat yang dipantau, dua mencatatkan pendapatan melebihi jangkaan, dua selari dengan unjuran manakala tiga lagi gagal mencapai sasaran.
Menurut BIMB Securities, perbezaan prestasi tersebut sebahagian besarnya dipengaruhi oleh variasi dalam pendedahan projek serta tempoh pelaksanaan projek yang berbeza.
“Keputusan bercampur-campur dalam kalangan kontraktor, dengan dua syarikat mengatasi jangkaan, dua selari dengan ramalan dan tiga gagal mencapai anggaran, mencerminkan perbezaan pendedahan projek serta kitaran pelaksanaan,” katanya dalam nota sektor semalam.
Firma itu turut mendapati syarikat yang mempunyai pendedahan lebih besar kepada pembinaan sektor swasta, khususnya projek pusat data berskala besar atau hyperscale, mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh.
Menurutnya, kontraktor yang terlibat dalam projek berkaitan pusat data terus mengatasi prestasi sektor, disokong oleh permintaan sektor swasta yang kukuh, pelaksanaan projek yang lebih pantas serta margin keuntungan yang semakin bertambah baik.
Sebaliknya, syarikat yang lebih terdedah kepada pembangunan hartanah atau projek infrastruktur yang masih berada dalam fasa peralihan mencatatkan momentum pendapatan yang lebih perlahan.
Dalam pada itu, BIMB Securities menjangkakan sektor pembinaan akan terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan fasa seterusnya projek pelaburan swasta dan infrastruktur berskala besar.
Menurut firma itu, pembangunan pusat data dijangka kekal sebagai pemangkin utama pendapatan kontraktor, khususnya apabila projek pusat data hyperscale di Johor, Lembah Klang dan Negeri Sembilan memasuki fasa pembinaan yang lebih intensif.
Selain pembangunan infrastruktur digital, projek rel, lebuh raya dan infrastruktur air yang sedang berjalan juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor dalam tempoh sederhana.
Walaupun prospek sektor dilihat positif, BIMB Securities mengingatkan bahawa beberapa risiko masih perlu diberi perhatian termasuk kelewatan projek, kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos pembinaan.
Firma itu turut memberi amaran mengenai kemungkinan kemasukan pelaburan asing yang lebih perlahan dalam ekosistem pusat data Malaysia.
“Prospek jangka sederhana sektor ini kekal positif memandangkan pipeline projek infrastruktur yang besar serta permintaan berterusan terhadap pembangunan infrastruktur industri dan digital di negara ini,” katanya. - DagangNews.com








