KUALA LUMPUR 12 Nov – Sektor pembinaan negara terus menunjukkan momentum kukuh apabila nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat 10.6% kepada RM45.4 bilion pada suku ketiga 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terkininya berkata, pertumbuhan itu didorong oleh aktiviti perdagangan khas yang melonjak 15.3%, diikuti bangunan kediaman (11.6%), bangunan bukan kediaman (10.0%), serta kejuruteraan awam (8.9%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata,, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah nilai kerja pembinaan dengan RM16.5 bilion (36.4%), diikuti bangunan bukan kediaman (RM12.9 bilion; 28.5%), bangunan kediaman (RM10.5 bilion; 23.0%), dan aktiviti perdagangan khas (RM5.5 bilion; 12.1%).
“Prestasi sektor pembinaan terus disokong oleh aktiviti sektor swasta yang kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sektor swasta menyumbang RM29.5 bilion (65%) daripada keseluruhan nilai kerja yang dilaksanakan, dengan pertumbuhan 13.1% berbanding tahun sebelumnya, manakala sektor awam turut mencatat pertumbuhan 6.1% kepada RM15.9 bilion (35%).
Dari segi negeri, empat wilayah utama iaitu Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, terus menjadi penyumbang utama dengan menyumbang 62.1% daripada keseluruhan nilai pembinaan, diterajui oleh Selangor (RM10.5 bilion) dan Johor (RM8.2 bilion).
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, sektor pembinaan secara keseluruhan merekodkan nilai kerja RM132.2 bilion, meningkat 13.3% berbanding tempoh sama tahun 2024, didorong prestasi kukuh dalam aktiviti perdagangan khas (23.5%) dan bangunan kediaman (17.0%). - DagangNews.com








