KUALA LUMPUR 26 Jun — Pemaju sektor hartanah diramal menumpukan lebih banyak projek baharu di Lembah Klang dan Pulau Pinang dalam masa terdekat berbanding lokasi lain, kata RHB Research,
Firma penyelidikan tersebut berkata, pemaju di negara ini secara keseluruhannya masih yakin dengan prospek sektor berkenaan namun dilihat berhati-hati dalam perancangan jangka panjang.
Ia berpendapat permintaan untuk perindustrian, kedai komersial dan kediaman bertanah akan kekal kukuh, kerana pembeli segmen itu kebanyakan adalah pengguna akhir, pelabur dan penaik taraf.
"Walaupun pasaran Iskandar Malaysia di Johor kekal rancak, kami percaya pemaju akan melancarkan banyak projek di Lembah Klang dan Pulau Pinang selepas ini," kata RHB Research dalam nota kajian.
Sektor hartanah di wilayah Iskandar Malaysia katanya, dirangsang limpahan positif perbelanjaan runcit warga Singapura selain insentif pembangunan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Situasi sebaliknya pula kata firma itu, di Lembah Klang dan Pulau Pinang yang dipacu permintaan setempat yang tinggi tetapi kurang penawaran menyebabkan potensi sektor hartanah amat positif.
Tambah RHB Research, segmen kediaman bertingkat dengan harga berpatutan harus kekal berdaya tahan, namun segmen perumahan bertingkat yang lebih tinggi mungkin menghadapi beberapa cabaran.
"Kami masih kekal positif dalam sektor hartanah dan ia juga didagangkan menarik pada diskaun sebanyak 55 peratus berbanding kemuncak baru-baru ini iaitu 45% sahaja," kata firma tersebut.
Ia turut disokong pengecualian perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pangsapuri servis yang dibina di atas geran komersial kerana melegakan para pemain industri hartanah.
RHB Research berkata, segmen itu kini dikecualikan daripada SST, selagi unit tersebut bertujuan untuk kegunaan hartanah kediaman dan berada di bawah bidang kuasa Akta Pembangunan Perumahan.
Di samping itu katanya, bahan binaan penting seperti simen, dan pasir masih dikenakan sifar cukai tersebut yang diramalkan hanya akan menjejaskan segmen hartanah perindustrian dan komersial.
"Berdasarkan perkembangan itu, kami mengekalkan saranan 'overweight' kepada sektor ini dengan saham pilihan ialah Sime Darby Property Berhad dan Sunway Berhad," katanya. - DagangNews.com








