KUALA LUMPUR 5 Mac — Aktiviti segmen semikonduktor HE Group Berhad dijangka hanya pulih apabila pelanggan menyambung semula kitaran perbelanjaan modal (capex) mereka, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut menambah, pada ketika ini perolehan segmen berkenaan masih lemah dengan kumpulan itu mencatatkan kurang daripada 5% dalam buku tender syarikat bagi tahun semasa.
Setakat akhir Februari 2026, buku tender syarikat itu berjumlah RM1.1 bilion dengan kira-kira 95% atau RM1 bilion daripadanya terdiri daripada projek DC di Malaysia melibatkan sebanyak lima kontrak.
“Pengurusan HE Group mengunjurkan kadar kejayaan pemerolehan tender baharu terutama yang berkaitan projek DC pada 2026 adalah sekitar 20%,” kata Phillip Capital dalam nota analisisnya hari ini.
Tambahnya, setakat tahun ini, kumpulan sudah memperoleh kontrak baharu bernilai RM20 juta dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penambahan buku tempahan sebanyak RM230 juta.
Buku tempahan terkumpul kini di paras RM85 juta berbanding RM90 juta pada suku ketiga 2025 selepas memperoleh kontrak sistem pengagihan tenaga untuk pelanggan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Ketika ini projek DC diuruskan HE Group jelas Phillip Capital, menyumbang 64% daripada keseluruhan buku tersebut, diikuti segmen E&E (15%), semikonduktor (10%), perubatan (4%) dan lain-lain (8%).

"Buku tempahan yang sedia ada pula dijangka diiktiraf sepenuhnya sepanjang 2026, yang bersamaan kira-kira 31% daripada unjuran hasil kumpulan berkenaan," tambah firma penyelidikan tersebut.
Segmen perubatan katanya, sudah mula menunjukkan tanda awal pemulihan dengan sebanyak dua projek baharu yang disifatkan berskala besar dijangka dibuka untuk penerimaan tender sekitar Jun 2026.
Selain itu ujar Phillip Capital, HE Group turut mengembangkan pendedahannya kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) termasuk infrastruktur ladang solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan, kumpulan itu jelasnya, berusaha membida banyak lagi projek infrastruktur berkaitan pelabuhan serta meneroka peluang DC di Thailand dan Indonesia.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran 12 bulan iaitu 51 sen sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PER) sasaran 14 kali bagi unjuran perolehan 2026," katanya.
Phillip Capital namun mengingatkan risiko utama termasuk penambahan buku tempahan lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan projek, dan tekanan margin projek akibat peningkatan kos. - DagangNews.com








