KUALA LUMPUR 12 Mac — Prestasi Aeon Co (Malaysia) Berhad diramal terus disokong oleh kekuatan segmen pengurusan hartanah (PMS) selepas mencatatkan margin 40.9% bagi tahun kewangan 2025.
Menurut TA Securities, prestasi masa depan kumpulan ini turut disokong oleh segmen jualan runcit yang stabil, peningkatan jualan jenama sendiri, serta inisiatif pengubahsuaian pusat beli-belah.
Firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya hari ini turut menyifatkan usaha pengoptimuman campuran penyewa bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, akan memberi kesan yang lebih positif.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Aeon dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham, berdasarkan kepada penilaian model diskaun dividen (DDM)," jelas TA Securities.
Segmen jualan runcit kumpulan ini namun mencatatkan penurunan perolehan 3.7% tahun ke tahun (YoY) pada suku keempat FY25, disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina yang jatuh lebih lewat daripada biasa.
Bagi keseluruhan FY25, hasil segmen ini kekal stabil RM3.5 bilion, apabila peningkatan jumlah jualan diimbangi penurunan purata nilai pembelian kepada RM54.10 berbanding RM55.80 pada FY24.
Keadaan ini tambah TA Securities, sebahagiannya berpunca daripada peningkatan sumbangan produk makanan, yang secara umumnya mempunyai harga jualan purata lebih rendah di semua premis Aeon.

"Pada FY25, produk ini menyumbang 57.9% daripada jumlah jualan runcit, naik 2.3 mata peratusan YoY, didorong pertambahan penyewa yang merangkumi 16% daripada ruang sewaan bersih," katanya.
Memasuki suku pertama FY26, pihak pengurusan menjangkakan jualan akan meningkat secara suku tahunan (QoQ), disokong perbelanjaan pengguna yang kukuh semasa musim perayaan berturut-turut.
Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, Aeon terus mengembangkan produk jenama sendiri dengan menambah bilangan dan memperluaskan rangkaian produk bagi meningkatkan margin runcit.
Pada masa ini, jenama sendiri kumpulan berkenaan hanya menyumbang sekitar 18% daripada jumlah jualan runcit, tetapi ia meningkat kira-kira 1 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
"Segmen PMS kekal sebagai pemacu utama keuntungan selepas margin untung kasar meningkat kepada 40.9% pada FY25, naik 2.6 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya," kata TA Securities lagi.
Prestasi itu disokong peningkatan jumlah pengunjung, kadar penghunian stabil serta pengoptimuman campuran penyewa, manakala aliran kenderaan meningkat 5% YoY dan jualan penyewa bertambah 8.3%.
Ujar firma itu, Aeon turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi melaksanakan kempen promosi khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), termasuk pelancaran barangan promosi khas.

Berdasarkan faktor tersebut, TA Securities menjangkakan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen PMS kekal kukuh sekitar 41% pada FY26, disokong peningkatan trafik pengunjung.
"Prospek ini turut disokong rancangan pengubahsuaian pusat beli-belah di wilayah selatan termasuk, selain inisiatif pengoptimuman penyewa dan penstrukturan semula ruang perniagaan," jelasnya.
Dalam masa sama, Aeon terus memperkukuh komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di pusat beli-belahnya.
Sepanjang FY25, sebuah lagi gedunganya di Kota Bharu, Kelantan sudah mula menggunakan sistem tenaga solar, menjadikan sejumah 12 kompleks beli-belah kumpulan itu menggunakan tenaga hijau.
Selain itu tambah TA Securities, dua lagi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di rangkaian pusat beli-belahnya dipasang, menjadikan jumlah keseluruhan 64 stesen pengecas EV setakat FY25.
"Kira-kira 28% penggunaan tenaga Aeon kini datang daripada sumber RE, dengan beberapa projek pemasangan panel solar tambahan sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa," ujarnya.
Justeru, ia menyemak semula unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 dengan pelarasan antara 0.6% hingga 4.5%, selepas diambil kira pembukaan Aeon KL Midtown Mall ditunda ke separuh kedua FY26.
Bagaimanapun, TA Securities menilai prospek pertumbuhan stabil yang disokong oleh segmen PMS dan strategi peningkatan pengalaman pelanggan di semua pusat beli-belahnya. - DagangNews.com








