SEDC Energy, Amcharge jalin kerjasama bina kemudahan pemasangan pengecas EV pertama di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SEDC Energy, Amcharge jalin kerjasama bina kemudahan pemasangan pengecas EV pertama di Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Sept – SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE), cabang tenaga baharu milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menjalinkan kerjasama dengan Amcharge Sdn Bhd untuk membina kemudahan pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama seumpamanya di Sarawak.

 

Kerjasama itu bukan sahaja bagi memenuhi permintaan semakin meningkat bagi kemudahan pengecas EV di Sarawak tetapi mensasarkan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab bekalan pengecas EV bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga rantau Asia Tenggara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Amcharge, Lee Yeet Chuan berkata, kerjasama ini selaras dengan aspirasi negara mencapai sasaran 10,000 pengecas EV menjelang 2030, seperti yang digariskan oleh Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC). 

 

“Penubuhan barisan kemudahan pemasangan ini akan membina keupayaan tempatan, memperkasa pemindahan teknologi dan membuka peluang pekerjaan baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kedua-dua pihak telah menandatangani Surat Niat yang merangkumi pembangunan keupayaan ujian dalaman untuk pengecas Arus Ulang-alik (AC) dan Arus Terus (DC), selain menjadi platform untuk melatih bakat tempatan dalam bidang mobiliti hijau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, pula berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen Sarawak mempercepat peralihan tenaga melalui permodenan rantaian bekalan dan penglibatan aktif rakyat negeri ini.

 

“Kami akan turut melaksanakan program latihan teknikal untuk juruteknik dan pemasang pengecas EV dengan kerjasama Sarawak Skills. 

 

"Inisiatif ini penting bagi memastikan anak Sarawak menjadi sebahagian daripada ekosistem mobiliti hijau yang sedang berkembang pesat,” katanya.

 

Tambah beliau, kemasukan SEDCE sebagai ahli Sarawak Skills juga merupakan langkah strategik untuk melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dan menyokong transformasi Sarawak sebagai hab tenaga mampan.

 

petros mfl

 

Rangkaian PETROS MFS perluas liputan pengecas EV di seluruh Sarawak

 

Sementara itu SEDC Energy turut memperluas infrastruktur pengecasan EV melalui rangkaian Stesen Multifuel PETROS (MFS) di seluruh negeri. 

 

Setakat ini, sebanyak 11 stesen MFS telah beroperasi sepenuhnya termasuk MFS Darul Hana (Jln Tun Salahuddin), MFS Batu Kawa (Jln Pines Square), MFS Kanowit, Daro, Kuala Matu, Brooke Drive, Selangau, Tatau, Kapit, Sungai Asap dan Jepak.

 

Empat lagi stesen perdana MFS sedang dirancang di lokasi strategik iaitu Bintulu, Sri Aman, Sibu dan Miri, yang akan membentuk 'tulang belakang' kepada rangkaian pengisian semula hidrogen sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.

 

Sebanyak tiga stesen MFS sedang dalam pembinaan, manakala lebih 40 tapak baharu sedang diproses untuk pembangunan di seluruh negeri. 

 

Semua stesen ini akan menyediakan perkhidmatan pengecasan EV serta bahan api konvensional kepada pengguna.

 

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting Sarawak dalam menyokong matlamat negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero) menjelang tahun 2050, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau di rantau ini. - DagangNews.com