Sedania salur hampir RM2 bilion kepada 3 juta pekerja gig melalui pembiayaan GoHalal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sedania salur hampir RM2 bilion kepada 3 juta pekerja gig melalui pembiayaan GoHalal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), anak syarikat kepada Sedania Innovator Bhd terus memperkukuh kedudukannya dalam bidang fintech Islamik melalui Program Pembiayaan GoHalal. 

 

Setakat ini, program tersebut telah menyalurkan hampir RM2 bilion pembiayaan patuh Syariah secara keseluruhan yang memanfaatkan golongan pekerja gig, usahawan mikro dan pemilik perniagaan kecil di seluruh negara.

 

Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai platform digital utama, Sedania memperluas akses kewangan kepada lebih tiga juta pekerja gig di Malaysia iaitu salah satu kumpulan penyumbang ekonomi yang berkembang paling pantas di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Khairul Nisa Ismail berkata, program itu bukan sekadar inovasi fintech, tetapi satu ekosistem menyeluruh yang mentakrif semula akses kepada modal untuk golongan yang kurang mendapat perhatian.

 

“Di Sedania As Salam Capital, kami percaya pemerkasaan kewangan mesti bersifat inklusif dan berprinsip.

 

“Program GoHalal bukan sekadar produk pembiayaan, tetapi platform yang memanfaatkan teknologi dan nilai Syariah untuk memperkasa golongan yang bekerja sendiri dalam ekonomi digital yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

GoHalal adalah satu pembiayaan patuh Syariah yang direka bagi memperluaskan akses kewangan dalam ekonomi gig Malaysia yang sedang berkembang pesat.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Sedania Innovator Bhd, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kejayaan ini membuktikan kekuatan dan daya tahan ekonomi digital negara, namun pada masa sama mengakui ramai pekerja gig berdepan ketidaktentuan pendapatan antara tempoh permintaan.

 

“Melalui ekosistem GoHalal, kami membantu mereka mengakses pembiayaan patuh Syariah yang bertanggungjawab dan mampan. Ini memberikan makna sebenar kepada usaha memperkasakan ekonomi harian rakyat,” jelasnya.

 

Program GoHalal beroperasi berasaskan model “Meta Financing”, iaitu integrasi teknologi, tadbir urus Syariah dan impak sosioekonomi dalam satu ekosistem digital yang lancar. 

 

Ia disokong oleh platform dagangan digital As-Sidq Tawarruq milik Sedania, yang membolehkan rakan digital menggabungkan produk kewangan Islam terus ke dalam sistem mereka.

 

Setiap transaksi dilaksanakan secara automatik, telus dan patuh Syariah secara masa nyata, sekaligus meningkatkan kecekapan pengurusan pembiayaan.

 

Sejak diperkenalkan, program ini berjaya meningkatkan keterangkuman kewangan secara etika dan bertanggungjawab, selaras dengan matlamat korporat Sedania untuk “Memperbaiki Kehidupan Secara Mampan”.

 

Model fintech Sedania turut disokong oleh rangka kerja tadbir urus Syariah yang kukuh, diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Aznan Hasan, tokoh terkemuka dalam kewangan Islam. 

 

Semua produk dan proses di bawah GoHalal direka berasaskan integriti Syariah bagi memperkukuh keyakinan pelabur dan kepercayaan pengguna.

 

Komitmen terhadap inovasi beretika itu telah melayakkan Sedania As Salam Capital sekali lagi meraih anugerah “IFN Best Islamic Technology Provider” dalam tinjauan IFN Service Providers Poll 2025, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju inovasi fintech Islam.

 

Dengan infrastruktur digital yang mantap, tadbir urus dipercayai dan penerimaan institusi yang semakin berkembang, Sedania As Salam Capital kini bersedia untuk menerajui gelombang pertumbuhan seterusnya dalam sektor fintech Islam di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com