SD Guthrie jual 121.4 hektar tanah, bangunkan 121.4 hektar lagi sebagai taman perindustrian di Port Dickson | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie jual 121.4 hektar tanah, bangunkan 121.4 hektar lagi sebagai taman perindustrian di Port Dickson

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - SD Guthrie Bhd akan menjual 121.4 hektar tanah dan menubuhkan satu syarikat usaha sama (JV) bagi membangunkan taman perindustrian di atas tambahan 121.4 hektar tanah bersama kerajaan Negeri Sembilan.

 

Tapak seluas 242.8 hektar itu terletak di Ladang Sengkang milik SD Guthrie di daerah Port Dickson. Penyediaan pelan induk dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2026, diikuti dengan kerja-kerja infrastruktur bagi taman perindustrian yang akan bermula pada suku berikutnya.

 

SD Guthrie dan Menteri Besar Inc Negeri Sembilan (MBINS) merasmikan kerjasama ini melalui perjanjian jual beli bagi tanah seluas 121.4 hektar serta memorandum persefahaman (MoU) untuk usaha sama tersebut.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, langkah terbaru ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan memaksimumkan nilai bank tanahnya dan pada masa yang sama menyokong pembangunan Zon Bebas Port Dickson (PDFZ).

 

“Dengan menggabungkan pelaksanaan pengewangan tanah dan kerjasama strategik utama bersama MBINS, kami dapat merealisasikan nilai tanah tersebut dengan segera serta menjamin satu lagi potensi aliran pendapatan berulang untuk SD Guthrie,” katanya dalam satu kenyataan.

 

PDFZ yang bakal dibangunkan — di mana taman perindustrian baharu ini akan dibina — merupakan sebahagian daripada inisiatif ekonomi negeri di bawah Malaysia Vision Valley 2.0. PDFZ akan melengkapi pembangunan pelabuhan kontena pintar dikuasakan AI.

 

“Kejayaan Midport berkait rapat dengan pembangunan PDFZ,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sambil menyatakan, projek itu akan menjadi asas penting menarik pemimpin industri global dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

 

Selain Negeri Sembilan, SD Guthrie — pengeluar minyak sawit terbesar dunia dari segi keluasan ladang — turut memaklumkan, pihaknya sedang berbincang secara aktif dengan agensi-agensi kerajaan negeri lain serta rakan niaga berpotensi untuk membangunkan teras perniagaan baharunya — industri dan tenaga boleh diperbaharui (RE) — di tanah-tanah strategik di seluruh Malaysia.

 

“Dengan pendekatan strategik ini, SD Guthrie akan dapat melindungi kepentingan masa depannya serta membuka sepenuhnya nilai tanah yang dimilikinya,” katanya.- DagangNews.com