IPOH 27 Okt - Elemen seram, mitos tempatan dan budaya rakyat Malaysia mencetuskan sensasi pada sambutan Halloween di Sunway Lost World Of Tambun (LWOT) di sini menerusi ‘Screamfest 4: Sihir’.
Tema tahun ini, sihir menyingkap dunia mistik yang diilhamkan daripada kepercayaan turun-temurun masyarakat Melayu membawa pengunjung menelusuri kisah ritual, roh dan kuasa gelap yang penuh misteri.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi keempat itu merupakan hasil karya tempatan sepenuhnya, direka dan dibangunkan oleh pasukan kreatif Sunway Theme Parks.
Pengunjung berpeluang merasai tujuh pengalaman berhantu di seluruh taman tema, setiap satunya diolah daripada kisah rakyat dan legenda tempatan.


Antara tarikan utama termasuk misteri gua langsuir, lembah makhluk hijau, lorong saka, jamban jampi dan tren neraka.
Setiap zon menampilkan rekaan set yang teliti, pencahayaan menyeramkan dan efek bunyi realistik, selain persembahan secara langsung yang menghidupkan semula kisah seram tradisional dengan cara moden dan interaktif.
Penolong Pengurus Besar LWOT, Brian Francis berkata, Screamfest bukan sekadar acara hiburan bertemakan Halloween, sebaliknya ia adalah usaha untuk meraikan warisan dan cerita rakyat Malaysia.
“Screamfest bukan sekadar malam penuh jeritan. Ia adalah ruang untuk kita meraikan budaya, cerita dan rakyat kita.
“Keunikan acara ini ialah keseluruhannya dihasilkan oleh tenaga kerja tempatan, daripada konsep hingga pelaksanaan. Inilah cara kami mengekalkan kisah rakyat dan menyampaikannya semula kepada generasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan.


Selain tarikan seram, pengunjung boleh menikmati pelbagai permainan mendebarkan seperti Stormrider, Dragon Flights, Giddy Galleon, Perak Parade dan Swan Lake.
Persembahan pentas secara langsung dan zon bertemakan seram di seluruh taman memastikan suasana mendebarkan berterusan sepanjang malam.
Berbeza dengan sambutan Halloween di luar negara yang lebih menjurus kepada kisah barat, Screamfest menonjolkan elemen budaya Malaysia melalui penceritaan tentang hantu kampung, makhluk mistik dan kisah turun-temurun.
Ia bukan sekadar hiburan, malah berfungsi sebagai platform melestarikan kisah rakyat dalam bentuk moden dan interaktif.


Bagi mereka yang berani, inilah peluang menembusi tirai kegelapan dan menyaksikan bagaimana sihir dibangkitkan di LWOT sepanjang Oktober ini.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.sunwaylostworldoftambun.com. - DagangNews.com








