KUALA LUMPUR 21 Jan – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menegaskan tadbir urus korporat yang berkesan perlu diterajui oleh kepimpinan lembaga pengarah dan tidak seharusnya dilihat sebagai fungsi pematuhan semata-mata, sebaliknya pemacu kepercayaan, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, tadbir urus korporat bermula dari peringkat tertinggi sesebuah organisasi iaitu lembaga pengarah, selari dengan pandangan tokoh tadbir urus korporat global, Profesor Mervyn E. King yang menekankan peranan lembaga sebagai rakan pemikir kepada pengurusan, bukan sekadar pegawai pematuhan.
“Tadbir urus korporat paling berkesan apabila tiga kuasa bergerak seiring iaitu disiplin kendiri, disiplin pasaran dan disiplin pengawalseliaan. Jika dua yang pertama kukuh, campur tangan pengawal selia akan menjadi pengecualian, bukan kebiasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Anugerah Tadbir Urus Korporat dan Kelestarian Kebangsaan 2025 (NACGSA 2025), anjuran Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, disiplin kendiri merangkumi peranan lembaga dan pengurusan dalam membentuk budaya berteraskan nilai, tujuan dan misi syarikat, manakala disiplin pasaran pula dipacu oleh pelabur, pemegang kepentingan dan ekosistem yang menuntut akauntabiliti serta ketelusan.
“Dalam konteks ini, peranan MSWG dan NACGSA amat penting kerana ia memperkukuh disiplin pasaran dengan mengiktiraf syarikat dan lembaga yang mengamalkan tadbir urus baik bukan kerana terpaksa, tetapi kerana mereka mempercayainya,” katanya.
Mohammad Faiz berkata, disiplin pengawalseliaan pula berfungsi sebagai jaringan keselamatan dengan menetapkan piawaian minimum dan mengambil tindakan terhadap kes serius seperti penipuan dan manipulasi pasaran.
Mengulas mengenai kelestarian, beliau menegaskan perbahasan iklim semasa menjadikan kelestarian satu keperluan penting dalam tadbir urus bagi memastikan daya tahan jangka panjang syarikat serta ekonomi negara.
“Pelaporan kelestarian membantu syarikat menjelaskan kepada pemegang kepentingan bagaimana mereka kekal berdaya tahan. Ia juga menandakan Malaysia sebagai sebuah negara mempunyai ketahanan jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, SC menantikan kumpulan pertama syarikat tersenarai awam (PLC) yang akan melaporkan pendedahan di bawah piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) tahun ini, diikuti kumpulan kedua PLC Pasaran Utama yang akan memulakan persediaan bagi pelaporan tahun hadapan.
Beliau turut memaklumkan SC sedang menjalankan semakan terhadap Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) melalui perbincangan dan konsultasi bersasar, berpandukan data daripada Pemantau Tadbir Urus Korporat serta perkembangan pasaran semasa.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Kertas Perbincangan Rangka Kerja Tadbir Urus Korporat telah diterbitkan bulan lalu bagi menguji idea dan merangsang pemikiran ke hadapan, termasuk menyediakan lembaga untuk berperanan sebagai arkitek strategik kepercayaan,” katanya.
Menurut beliau, tempoh konsultasi awam akan berakhir pada 13 Februari, dan maklum balas industri adalah penting bagi memastikan MCCG 2026 kekal relevan, praktikal serta mencerminkan realiti tadbir urus di bilik lembaga dan pasaran.
Mengulas hala tuju masa depan, Mohammad Faiz berkata, SC akan melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 tidak lama lagi, dengan beberapa inisiatif disokong oleh MCCG 2026 termasuk penilaian penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan impak keselamatan siber terhadap perniagaan.
“Di bawah CMP, akan ada inisiatif untuk meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang merangkumi PLC berprestasi tinggi hingga yang kurang berprestasi. Pada masa sama, entiti pasaran seperti MSWG perlu diperkasa untuk memainkan peranan yang lebih proaktif,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan tadbir urus korporat bukan fungsi yang kering dan bersifat pematuhan semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan kepimpinan, etika, pembuatan keputusan seimbang serta legitimasi jangka panjang korporat dalam masyarakat.
SC, katanya, kekal komited untuk menyokong dan memperkukuh tadbir urus korporat di Malaysia melalui pendekatan pengawalseliaan dan kerjasama bersama rakan ekosistem termasuk MSWG, Bursa Malaysia, kepimpinan korporat dan komuniti pelabur. - DagangNews.com








