KUALA LUMPUR 24 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus Produk (PGG), bertujuan memperkukuhkan perlindungan pelabur serta menggalakkan pembangunan dan pengedaran produk pasaran modal yang bertanggungjawab.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha reformasi pasaran dan peraturan oleh SC ke arah mempertingkatkan kelakuan industri dan integriti pasaran.
Antara perkara utama yang digariskan dalam PGG adalah:
(a) mewajibkan penerbit dan pengedar produk (firma) untuk mengutamakan kepentingan pelabur dalam mereka bentuk dan mengedarkan produk pasaran modal tidak tersenarai, dan memastikan prinsip ini diterapkan dalam kawalan, dasar dan prosedur (CPP) mereka;
(b) menghendaki firma mewujudkan CPP yang meningkatkan kesesuaian produk untuk pasaran sasaran yang dimaksudkan serta mengenal pasti dan mencegah potensi kemudaratan kepada pelabur secara proaktif;
(c) menekankan tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan dalam memastikan akauntabiliti terhadap reka bentuk dan pengedaran produk; dan
(d) menggalakkan kerjasama erat antara penerbit dan pengedar produk dalam berkongsi maklumat berkaitan kesesuaian pasaran sasaran bagi memastikan produk terus berfungsi mengikut tujuan asalnya.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, PGG mengukuhkan lagi usaha SC dalam mempromosikan inovasi dan pengedaran produk yang bertanggungjawab.
"PGG mengguna pakai pendekatan berasaskan prinsip, yang membolehkan firma melaksanakan rangka kerja tadbir urus produk yang sesuai dengan model perniagaan masing-masing sambil mencapai hasil kawal selia yang dihasratkan."
Tambah beliau, pendekatan ini adalah penting dalam melindungi kepentingan pelabur serta mendorong inovasi yang bertanggungjawab.
"Dengan melaksanakan rangka kerja tadbir urus produk yang berkesan, firma juga dapat menunjukkan komitmen mereka terhadap amalan perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab, yang merupakan kunci untuk membina kepercayaan dalam kalangan pelabur dan pengawal selia," katanya.
PGG akan dikuatkuasakan pada 2 Januari 2026
PGG yang dibangunkan berdasarkan amalan penanda aras dan maklum balas industri ini akan terpakai bagi produk pasaran modal tidak tersenarai*, kecuali saham biasa, kontrak derivatif over-the-counter, dana modal teroka atau ekuiti persendirian, dan produk yang ditawarkan melalui platform yang dikendalikan oleh pengendali pasaran yang diiktiraf.
Bagi memudahkan peralihan, PGG akan berkuat kuasa mulai 2 Januari 2026, sekali gus memberi masa yang mencukupi kepada firma untuk memahami keperluan garis panduan ini dan bersedia untuk pematuhan.
Penerbit dan pengedar produk digalakkan untuk mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan PGG kepada: [email protected].
PGG dan Soalan Lazim (FAQ) berkaitannya boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/product-governance - DagangNews.com








