KUALA LUMPUR 5 Jun – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai mengenai penipuan pelaburan baharu melibatkan versi klon Daftar Awam Pemegang Lesen dan Individu Berdaftar SC.
SC berkata, kaedah menipu pelabur itu melibatkan penyamar yang mendakwa mewakili pihak berdaftar di bawah SC, lalu mengarahkan mangsa ke laman web yang meniru portal Daftar Awam rasmi SC.
"Mangsa kemudiannya digesa memasukkan nama entiti palsu itu ke dalam laman klon berkenaan, dan keputusan carian akan memaparkan pihak tersebut seolah-olah sah berlesen di bawah SC," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Penipu turut memperdaya mangsa untuk memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga yang digunakan sebagai saluran penipuan atas nama pelaburan.
Menurut SC, tindakan segera telah diambil bagi menurunkan portal palsu yang dikenal pasti.
Namun, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, tidak menekan pautan meragukan serta membuat semakan pihak yang terlibat secara terus di portal rasmi SC di http://www.sc.com.my.
"Pelabur juga diingatkan agar tidak membuat sebarang pemindahan wang ke akaun bank pihak yang mencurigakan kerana ia berkemungkinan akaun bank yang disalahgunakan oleh penipu," tambah SC.- DagangNews.com








