KUALA LUMPUR 15 Julai - Perdagangan Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang sehingga lima peratus tahun ini, walaupun berlaku kelembapan dalam perdagangan global pada separuh kedua tahun 2025, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran ini mencerminkan prestasi separuh pertama tahun serta beberapa langkah strategik yang sedang dilaksanakan untuk mengekalkan momentum perdagangan.
“Jika kita lihat kepada sasaran pertumbuhan kita, julat 4.0 hingga 5.0 peratus masih boleh dicapai.
"Namun, pada separuh kedua tahun ini yang telah pun bermula, kita melihat pertumbuhan perdagangan global mula sederhana.
“Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun ini masih dalam jangkaan. Seperti yang kita sedia maklum, Bank Negara Malaysia telah menjangkakan pertumbuhan perdagangan sekitar lima peratus bagi tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan Laporan Kad Prestasi Kementerian bagi Suku Kedua 2025 yang diadakan di sini hari ini.
Antara perkembangan utama yang menyokong momentum perdagangan ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA) pada 23 Jun 2025.
Seiring dengan MEEPA, Malaysia dan EFTA juga telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai Kerjasama dan Pembinaan Keupayaan serta satu kenyataan bersama mengenai Minyak Sawit Mampan. - DagangNews.com








