KUALA LUMPUR 24 Nov – Sarawak memperuntukkan belanjawan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1 bilion untuk meneruskan pembinaan infrastruktur dan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Fasa 1 di bawah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), termasuk stesen ART dan laluan Blue Line Pakej 1 dari Rembus ke Riveria, dijadualkan memulakan operasi pada suku keempat 2026.
Beliau berkata, pembinaan Blue Line Pakej 2 dari Stutong ke Hikmah Exchange, serta Red Line sedang berjalan manakala kerja-kerja Green Line dijangka bermula pada suku kedua 2026.
“Di samping itu, sejumlah RM90 juta akan diperuntukkan kepada Sarawak Metro bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan.
“Usaha untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam konvensional Sarawak akan diteruskan pada 2026, dengan peruntukan RM16.8 juta bagi menyokong inisiatif utama.
“Ini termasuk pelaksanaan bas pintar di Bandaraya Miri, pelancaran perkhidmatan bas henti-henti baharu di Sibu, pemberian subsidi operasi berterusan untuk perkhidmatan bas henti-henti, serta pembinaan terminal bas baharu di Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.
Tambahnya, projek-projek tersebut bertujuan meningkatkan akses, kebolehpercayaan dan keseluruhan mobiliti awam di kawasan bandar dan separa bandar.
Sarawak membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM12.9 bilion merangkumi RM7.3 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM5.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus.
Sarawak mengunjurkan perolehan sebanyak RM13.05 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.91 bilion yang dijangka menghasilkan lebihan sebanyak RM144 juta.
Belanjawan yang bertemakan "Memperkasa Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan" itu adalah mencerminkan visi Sarawak untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan sosial dan mempercepat pembangunan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sebanyak RM6.1 bilion atau 66 peratus daripada keseluruhan belanjawan pembangunan akan diperuntukkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar termasuk jalan raya, utiliti dan projek sosioekonomi. - DagangNews.com








