KUALA LUMPUR 23 April - Sarawak yakin rancangan untuk membekalkan 30 megawatt (MW) elektrik ke Sabah akan menjadi kenyataan sebaik sahaja projek grid di utara Sarawak siap sepenuhnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek grid tersebut kini hampir siap dan dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini.
"Kita sudah tandatangani perjanjian pertukaran tenaga dengan Sabah. Buat permulaan, kita bersetuju untuk bekalkan 30 MW, tertakluk kepada tarikh siap grid di utara Sarawak.
"Apabila projek ini siap nanti, kita mungkin boleh tingkatkan bekalan kepada 50 atau 80 MW, bergantung kepada permintaan," katanya seperti laporan The Borneo Post.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang bertujuan menyelaraskan peraturan peralatan elektrik dan gas.
Julaihi turut menjelaskan, Sarawak mahu menyiapkan projek Borneo Grid terlebih dahulu sebelum menilai kemungkinan membekalkan tenaga ke Filipina, satu rancangan jangka panjang yang memerlukan kajian kebolehlaksanaan.
Sarawak, katanya, berhasrat menjadi hab tenaga utama untuk Borneo, Malaysia dan rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.
Terdahulu, pada 17 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta Sarawak menyalurkan lebihan tenaga elektrik ke selatan Filipina melalui Sabah bermula tahun depan. - DagangNews.com








