KUALA LUMPUR 21 Okt – Sarawak bakal memperkenalkan ‘AI Artventure’, sebuah galeri seni digital yang menggabungkan kreativiti pelajar dan kecerdasan buatan (AI), sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25).
Inisiatif itu adalah satu lagi usaha baharu kerajaan Sarawak dalam memupuk bakat kreatif dan digital dalam kalangan generasi muda.
Pameran yang dikenali sebagai Digital Art Gallery 2025 (DAG25): AI Artventure ini akan berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober di Dewan Balai Rong, Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka, Kuching.
Program ini dijayakan oleh Crave Asia Sdn Bhd dan menjadi salah satu tarikan utama IDECS25 tahun ini.
Ketua Sekretariat IDECS25, Amirrul Rizwan Mohd Abd Hafiz berkata, DAG25 menampilkan karya seni pelajar sekolah dari seluruh Sarawak yang akan diolah semula oleh teknologi AI menjadi paparan visual dinamik.
“Karya tersebut akan dipaparkan di dinding digital interaktif sepanjang lima meter, menawarkan pengalaman imersif kepada pengunjung yang menggabungkan keindahan seni dengan kecanggihan teknologi.
“DAG25 bukan sekadar pameran seni tetapi mencerminkan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju inovasi digital serantau.
“Dengan menggabungkan imaginasi generasi muda bersama kuasa AI, kami membuktikan teknologi boleh bersifat inklusif dan memberi inspirasi. Inisiatif ini memperkukuh komitmen kami untuk memupuk bakat digital dari peringkat akar umbi, selaras dengan visi Sarawak ke arah pertumbuhan digital mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan AI Artventure dibuka kepada semua pelajar dan orang ramai dengan tema “Green Planet” atau Bumi Hijau.
Peserta boleh menghantar karya seni yang akan diolah semula oleh AI dan dipamerkan di dinding digital interaktif bersama nama pelajar dan sekolah masing-masing.
Sebanyak RM15,000 hadiah ditawarkan, termasuk papan interaktif iBoard 65” untuk sekolah dengan penyertaan terbanyak dan iPad untuk pelajar dengan karya paling kreatif.
Semua peserta akan menerima e-sijil dan salinan digital karya AI mereka, manakala pengunjung juga berpeluang memenangi iPad melalui penyertaan awam.


Pameran lima hari itu turut menyediakan empat zon STEAM interaktif yang direka untuk mendorong kreativiti dan minat terhadap teknologi iaitu Zon Seni (melukis dan mewarna), Zon Kejuruteraan (blok magnetik), Zon Pembinaan (binaan Lego) dan Zon Kraftangan (hasil manik dan kraf kreatif).
Selain itu, pengunjung boleh menikmati pengalaman teknologi di Makeramai Playzone di Makeramai Makerspace, hab kreatif di bawah Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Zon ini menawarkan permainan Nintendo Switch, pengalaman Realiti Maya (VR) dan aktiviti Pen 3D bagi memberi inspirasi terhadap kreativiti dalam suasana santai.
DAG25 mencerminkan visi Sarawak untuk membina masyarakat digital yang progresif dengan menggabungkan seni, AI dan pendidikan.
Pameran itu dibuka secara percuma kepada semua dan menjadi peluang untuk orang ramai menyaksikan bagaimana teknologi dapat mencetuskan inovasi dan imaginasi. - DagangNews.com








