Sarawak lulus 12 projek pelaburan domestik RM347.1 juta pada suku pertama 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak lulus 12 projek pelaburan domestik RM347.1 juta pada suku pertama 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - Sarawak meluluskan 12 projek pelaburan domestik bernilai RM347.1 juta pada suku pertama 2026, dengan sebahagian besarnya melibatkan industri berkaitan perkhidmatan.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beberapa projek pelaburan asing dalam sektor teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan logistik juga kini sedang menjalani penilaian awal.

 

Menurut beliau, pelaburan swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi pengembangan industri, penciptaan pekerjaan, inovasi dan kepelbagaian ekonomi.

 

“Dari 2021 hingga 2025, Sarawak berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM116.8 bilion merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

 

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan kira-kira 28,190 peluang pekerjaan,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak di Dewan Undangan Negeri hari ini.

 

Beliau berkata, Sarawak turut memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga boleh diperbaharui serantau menerusi pembangunan tenaga hijau dan ekonomi hidrogen.

 

Kluster Industri Peralihan dan Hab Rendah Karbon

Katanya, Bintulu kini dibangunkan sebagai kluster industri peralihan manakala Kuching diposisikan sebagai hab rendah karbon.

 

Menurut beliau, pengiktirafan Bintulu sebagai kluster industri peralihan oleh World Economic Forum dijangka meningkatkan keyakinan pelabur global terhadap Sarawak sebagai hab pembangunan industri mampan.

 

“Pengiktirafan ini akan membantu menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan maju.

 

“Ia juga menyokong transformasi industri melalui pemindahan teknologi, inovasi, pembangunan bakat serta penglibatan lebih besar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian nilai global,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata hab rendah karbon Kuching akan dibangunkan sebagai ekosistem industri bersepadu yang disokong infrastruktur utama termasuk terminal gas dan pelabuhan laut dalam.

 

Katanya, pendekatan tersebut dijangka membantu mengoptimumkan nilai sumber, menarik pelaburan berteraskan ESG serta memperkukuh daya saing Sarawak dalam landskap tenaga serantau dan global.

 

Beliau turut mendedahkan kerjasama strategik telah diwujudkan dengan beberapa syarikat antarabangsa bagi membangunkan hab tersebut dengan potensi pelaburan sehingga RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. - DagangNews.com