KUALA LUMPUR 5 Mac — Sarawak Energy Bhd (SEB) dan penyedia elektrik nasional Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN) membincangkan potensi inisiatif tenaga rentas sempadan masa depan semasa misi perniagaan syarikat itu ke Jakarta baru-baru ini.
SEB dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerjasama jangka panjang itu turut dapat meningkatkan aspek keselamatan bekalan tenaga serantau dan mampu menyokong aspirasi pembentukan rangkaian grid kuasa ASEAN di bawah inisiatif Wawasan ASEAN 2020.
Malahan ujarnya, sejajar dengan hasrat SEB sendiri mahu merealisasikan impiannya untuk menjadi penyedia kuasa serantau, misi perniagaan tersebut juga memberi peluang untuk mereka mengukuhkan hubungan bersama-sama pemegang kepentingan utama di Indonesia.
“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dan SEB berjaya memuktamadkan misi perniagaan ke Jakarta, mengukuhkan perkongsian tenaga serantau," katanya yang mengesahkan komitmen syarikat terhadap penyelesaian tenaga mampan dan kerjasama rentas sempadan.
Ketika lawatan ke ibu pejabat korporat PLN, delegasi Sarawak berpeluang untuk bertemu dengan Pengarah Presidennya, Darmawan Prasodjo dan terlibat dalam dialog mengenai projek masa depan, selain merangka kerjasama demi kemajuan bersama Malaysia dan Indonesia.
Menurut kenyataan tersebut lagi, delegasi berkenaan turut memperkenalkan acara dwitahunan perdana anjuran SEB iaitu Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF), yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 September ini untuk mempelawa penyertaan wakil PLN.
Acara edisi keempat di Borneo Convention Centre, Kuching sejak kali pertama dianjurkan pada 2019 itu bakal membawa bersama ramai pemimpin industri dan penggubal dasar untuk perbincangan lanjut mengenai kerjasama rentas sempadan dan penyelesaian tenaga mampan.
Delegasi SEB diketuai oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Pengerusi SEB, Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili. - DagangNews.com








