SARA hidupkan semula ekonomi kedai runcit kampung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SARA hidupkan semula ekonomi kedai runcit kampung

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

Seawal pintu kedai dibuka, deretan pelanggan berbaris dengan sabar menunggu dengan MyKad di tangan.

 

Rak barangan dapur seperti beras, gula, minyak dan telur habis sekelip mata selepas diserbu penduduk dari lapan perkampungan sekitar Hulu Dungun.

 

Itu suasana yang berlaku di dua kedai runcit milik anak tempatan di sekitar Bukit Besi, Hulu Dungun sejak pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula baru-baru ini.

 

 

 

 

 

 

Program Penghargaan SARA memberi bantuan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi meringankan kos sara hidup. Bantuan diagihkan secara adil melalui saluran rasmi kerajaan tanpa mengira pendapatan atau latar belakang penerima. 

 

Terdapat lebih 90,000 barangan harian termasuk kelengkapan persekolahan, barangan penjagaan diri, kebersihan rumah serta ubat-ubatan yang boleh ditebus di lebih 8,000 kedai runcit berdaftar di seluruh negara.

 

Penduduk desa tidak perlu ke bandar

Dungun, bandar terdekat dengan Kampung Pasir Raja, terletak kira-kira 80 kilometer dari Kuala Terengganu dan mengambil masa satu jam 30 minit perjalanan sehala.

 

Ini menyebabkan penduduk kampung itu serta kampung berdekatan seperti Kampung Shukor, Kampung Belimbing, Jongok Batu, Durian Mas dan Bukit Besi lebih selesa menebus wang bantuan SARA di kedai runcit berhampiran.


 

bas

 


Pengarah Urusan Arena Teraju Mart, Nor Azlina Yusof berkata, kebiasaannya jualan bulanan kedainya mencecah sekitar RM500,000, namun angka sama berjaya dicapai hanya dalam tempoh sembilan hari selepas penerima SARA mula berbelanja.

 

“Daripada 31 Ogos hingga 9 September sahaja, jualan sudah mencecah RM419,000 dan RM343,000 daripadanya datang terus daripada transaksi SARA.

 

"Itulah perbezaan ketara yang saya rasai melalui program ini kerana dulu perlu tunggu sebulan baru dapat setengah juta, namun dengan adanya SARA, dalam seminggu pun boleh sampai angka itu,” katanya ketika ditemui DagangNews.com di Bukit Besi, baru-baru ini.

 

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menguruskan operasi pasar mini tersebut bersama 13 pekerja sepenuh masa dan empat pekerja sambilan yang kesemuanya terdiri daripada anak muda tempatan.


 

bas

 


Katanya, lonjakan jualan itu membuatkan kedainya perlu beroperasi lebih pantas dan stok barangan ditambah lebih cepat untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Saya sudah bersedia dengan stok yang banyak dan pembekal pun menghantar bekalan barangan dengan lebih kerap mengikut pesanan. Alhamdulillah, memang saya sangat teruja dengan program SARA ini.

 

"Pelanggan pun datang dengan ceria kerana mereka tahu MyKad boleh digunakan untuk pelbagai jenis barangan. Tugas saya sebagai pemilik premis adalah memastikan bekalan barangan cepat ditambah supaya mereka tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.

 

SARA terbukti bukan sahaja meringankan kos sara hidup rakyat, tetapi juga membuka lembaran baharu kepada peniaga kecil luar bandar untuk melonjak lebih jauh dalam ekosistem ekonomi tempatan.

 

Jualan naik lebih 60%

Di Hulu Dungun, suasana kedai runcit yang sememangnya tidak pernah sunyi kini bertambah sesak. Tambahan pula, lokasi lima perkampungan yang terletak berhampiran menjadikan perniagaan kecil luar bandar ini bagai nadi baharu ekonomi setempat.


 

bas

 


Situasi sama turut dirasai oleh Rodhiah Mahussin, 39, yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan kedai runcit di Kampung Dendang yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Dungun.

 

Beliau mengakui jualan hariannya naik lebih 60 peratus sejak SARA dilaksanakan.

 

"Jika sebelum ini stok 200 beg beras 10 kilogram habis dalam masa dua minggu, jumlah itu habis dibeli dalam tempoh lima hari sahaja.

 

"Begitu juga telur, jika dulu 500 sarang boleh habis dalam lapan atau sembilan hari, tapi sekarang 700 pun licin dalam tempoh seminggu. Memang tak cukup tangan nak layan pelanggan.

 

"Dulu purata jualan harian sekitar RM12,000 sekarang boleh capai RM20,000 sehari dan 60 peratus daripadanya adalah transaksi SARA," katanya yang dibantu sembilan pekerja tetap di kedai runcit tersebut.


 

bas

 


Kedainya kini menjadi tumpuan pelanggan bukan sahaja dari Kampung Dendang, malah dari Pasir Raja dan Felda Tersat.

 

Bagi masyarakat luar bandar, SARA bukan sekadar bantuan tunai, tetapi menghidupkan semula kedai runcit kampung sebagai pusat tumpuan ekonomi setempat.

 

Tidak perlu ke bandar 

Seorang pelanggan, Malisa Abu Bakar, 35, pula berkata dia tidak lagi perlu ke bandar untuk membeli barangan asas kerana semuanya tersedia di kedai runcit kampung itu dengan mudah.

 

“Tak payah beratur lama, jimat duit minyak dan masa berbanding hendak pergi ke bandar Dungun. Semua barang ada dekat kedai runcit ini, bayar guna MyKad sahaja,” katanya.


 

bas

 


Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pihaknya sentiasa memantau premis perniagaan yang terlibat dengan transaksi SARA agar tidak menaikkan harga barangan yang membebankan pengguna.

 

"Sejak 1 September lalu, sebanyak 22 premis perniagaan telah diperiksa melibatkan 100 barangan utama dalam program MyKasih.

 

 

 

 

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan melalui semakan rekod harga barangan mendapati semua peniaga tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sangat memuaskan," katanya. - DagangNews.com