Sapura Energy kembali pulih raih untung bersih RM189 juta, hasil naik kepada RM4.7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy kembali pulih raih untung bersih RM189 juta, hasil naik kepada RM4.7 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - Sapura Energy Berhad mula kembali mencatatkan pemulihan apabila berjaya  meraih keuntungan bersih sebanyak RM189.53 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY2025).
 

Perkembangan positif tersebut direkodkaan berbanding kerugian bersih sebanyak RM508.66 juta yang dilaporkan syarikat minyak dan gas (O&G) bermasalah itu pada setahun lalu.
 

Hasil pendapatan Sapura Energy turut mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada RM4.70 bilion daripada RM4.32 bilion sebelumnya.
 

Pertumbuhan berkenaan disumbangkan daripada segmen operasi dan penyelenggaraannya, yang didorong oleh permulaan beberapa projek baharu.
 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata hasil kejuruteraan dan pembinaan meningkat berikutan kemajuan lebih tinggi bagi projek yang sedia ada.
 

"Bagaimanapun, situasi ini telah diimbangi oleh segmen penggerudian disebabkan oleh tempoh hari penggunaan pelantar cari gali yang lebih rendah," katanya. - DagangNews.com