KUALA LUMPUR 11 Mac — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang Ilitzam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (RUU Iltizam) di Dewan Rakyat minggu lalu selepas dibahaskan 11 ahli Parlimen.
Badan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia itu berkata, ia menandakan satu pencapaian penting dalam mengurangkan birokrasi, meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, dan memperkukuhkan kemudahan melakukan perniagaan di Malaysia.
Dengan kerajaan mewajibkan pengurangan beban peraturan, memperkenalkan sistem penilaian prestasi perkhidmatan, dan menggalakkan ketelusan sektor awam yang lebih tinggi, reformasi ini adalah tepat pada masanya dan penting untuk pertumbuhan PMKS di Malaysia.
PKS kata Presiden Samenta, Datuk William Ng, merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih tujuh juta rakyat Malaysia, namun, sering menghadapi ketidakcekapan dalam urusan kerajaan.
"Ini termasuk proses kelulusan yang perlahan dan peraturan tidak konsisten. Justeru RUU ini adalah satu langkah besar ke hadapan dalam mengurangkan kerenah birokrasi kerajaan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
RUU Iltizam memberi impak positif dalam banyak aspek seperti pengurangan beban peraturan sebanyak 25 peratus setiap tiga tahun akan mempercepatkan proses kelulusan lesen, permit dan lain-lain, manakala penilaian prestasi agensi memastikan perkhidmatan yang baik.

Ia dijangka memperkasakan pendigitalan perkhidmatan kerajaan, mengurangkan penggunaan dokumen fizikal dan membolehkan PKS mengakses perkhidmatan dengan cekap, namun Samenta menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah tambahan bagi memperkukuhkan kesan RUU itu.
Isu ini kata William, termasuk penubuhan platform digital sehenti untuk kelulusan berkaitan perniagaan bagi memastikan konsistensi dan menghapuskan kelewatan yang tidak perlu di samping ada pasukan petugas tetap bagi memantau berkala dan menilai keberkesanan.
"Penilaian perkhidmatan harus diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan ia turut tertakluk kepada standard kecekapan yang sama. Ombudsman Pematuhan juga perlu ditubuhkan sebagai mekanisme penyelesaian aduan khusus bagi kes ketidakcekapan," katanya.
Samenta menyeru kerajaan dan industri untuk memainkan peranan masing-masing menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berdaya saing dan mesra perniagaan dengan pihak berwajib perlu terus berinteraksi dengan komuniti perniagaan serta mengurangkan halangan birokrasi.
Pada masa sama jelasnya, PMKS juga perlu menerima pakai pendigitalan, pematuhan peraturan, dan penambahbaikan kecekapan dalam operasi mereka kerana RUU Iltizam adalah langkah yang signifikan ke hadapan, namun kejayaannya bergantung kepada kerjasama berterusan.
William bagaimanapun berkata, Samenta berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memudahkan perjalanan perniagaan serta mengurangkan kos berniaga di Malaysia serta memastikan pelaksanaan RUU Iltizam yang proaktif. - DagangNews.com








