Samaiden kekal sasaran buku tempahan RM1 bilion pada 2026 didorong potensi projek solar, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden kekal sasaran buku tempahan RM1 bilion pada 2026 didorong potensi projek solar, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 MacSamaiden Group Berhad mengekalkan sasaran buku tempahan sebanyak RM1 bilion bagi tahun ini yang dipacu potensi kontrak baharu di bawah projek solar berskala besar (LSS).


Menurut TA Securities, setakat 31 Disember 2025, buku tempahan terkumpul kumpulan tersebut sudah berada pada RM601 juta yang bersamaan kira-kira 1.7 kali pendapatan bagi tahun kewangan 2025.


Sebahagian besarnya terdiri daripada projek LSS fasa kelima (LSS5) yang sedang dilaksanakan, manakala prospek projek LSS5+ dilihat signifikan memandangkan kapasiti ditawarkan lebih besar.


"Ia melibatkan kapasiti sekitar dua gigawatt (GW), mewakili potensi nilai kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) antara RM6 bilion hingga RM8 bilion," kata firma itu.


Lelongan LSS6 pula jelasnya, bakal dilancarkan akhir suku pertama 2026 dan berpotensi meningkatkan nilai EPCC bagi Samaiden jika diwajibkan penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).


TA Securities berkata buku tender EPCC kumpulan itu kini berjumla RM2 bilion dengan sekitar 3%5 terdiri daripada bidaan projek LSS5+, manakala baki melibatkan projek solar berskala utiliti lain.
 

Samaiden


Di samping itu ujarnya, keperluan modul solar bagi projek semasa syarikat itu sebahagian besarnya diperoleh lebih awal apabila tempahan dibuat sejak setahun lalu ketika harga pada paras terendah.


"Setakat ini, kira-kira 30% daripada penghantaran modul sudah berjaya diterima Samaiden manakala sebahagian besar baki dijangka tiba menjelang April 2026," tambah firma penyelidikan berkenaan.


Langkah tempahan awal itu kata TA Securities, membantu menyokong margin EPCC projek LSS5 yang dilihat lebih baik berbanding projek LSS terdahulu atau Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).


Ia turut didorong oleh pengoptimuman reka bentuk projek serta lokasi projek yang lebih hampir, namun margin bagi projek LSS5+ berpotensi lebih rendah berikutan peningkatan harga modul solar.


Penganugerahan kontrak EPCC diramal secara berperingkat pada separuh pertama 2026, dan Samaiden dijangka mula menerima pendapatan daripada aset tenaga solar di bawah CGPP seawal suku hadapan.


"Di bawah program tersebut, kumpulan ini memperoleh hak membangunkan dua loji solar berkapasiti 13.4 megawatt (MW) yang dimiliki sepenuhnya serta 29.9MW dengan pegangan 30%," kata TA Securities.
 

Samaiden


Sehubungan itu, firma berkenaan menganggarkan kedua-dua aset itu berpotensi menjana sumbangan pendapatan sekitar RM2.3 juta setahun atau kira-kira 6% daripada unjuran keuntungan pada FY27.


Di samping itu, projek loji solar LSS5 berkapasiti 100MW yang dimiliki sepenuhnya dan projek LSS5+ berkapasiti 100MW dengan pegangan 70% dijangka mula beroperasi masing-masing pada 2026 dan 2027.


"Justeru, kami menilai dua projek tersebut berpotensi menambah kira-kira RM4.4 juta sumbangan pendapatan tahunan, bersamaan kira-kira 9% daripada unjuran keuntungan pada FY28," jelasnya.


TA Securities membuat pelarasan kecil terhadap unjuran margin projek LSS5+ susulan tekanan kos daripada kenaikan harga modul solar yang menyebabkan unjuran keuntungan FY28 dikurangkan 5.4%.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Samaiden dengan harga sasaran (TP) iaitu RM1.96 sesaham yang berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).


Kumpulan itu katanya, namun kekal antara penerima manfaat utama kitaran pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) disokong oleh buku tempahan, serta kedudukan tunai bersih yang amat kukuh.


"Kami turut menjangkakan kadar pertumbuhan purata tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan selama tiga tahun kumpulan ini adalah baik iaitu sekitar 27% sehingga FY28," tambahnya. - DagangNews.com