Samaiden berkeupayaan tawar projek sehingga 200MWc tanpa masalah, prospek buku tempatan sihat - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden berkeupayaan tawar projek sehingga 200MWc tanpa masalah, prospek buku tempatan sihat - RHB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai sebanyak MYR195.1 juta setakat September memberi kelebihan kepada Samaiden Group menawarkan projek berkaitan tenaga sehingga 200MWac tanpa masalah, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelebihan itu seiring dengan hasrat pengurusan yang menyasarkan buku tempahan RM1 bilion menjelang tahun hadapan, dipacu oleh pengiktirafan berterusan daripada projek Large-Scale Solar (LSS) 5 dan LSS5+, serta peluang CRESS.

 

Kata firma itu lagi, prospek kumpulan ini kekal positif dengan buku pesanan bernilai kira-kira MYR617.5 juta, sementara buku tender sebanyak MYR2.5 bilion terdiri daripada 70% projek berskala utiliti, 20% solar bumbung, dan 10% kerja berkaitan solar lain. 

 

Kerja EPCC dan pemasangan untuk projek 99.99MWac LSS5 di Kelantan dijangka bermula tidak lama lagi, manakala kemajuan projek 99.99MWac LSS5+ di Johor masih di peringkat awal. 

 

"Walaupun persaingan bagi kerja EPCC meningkat, kumpulan ini menjangka keuntungan akan bertambah apabila lebih banyak aset dibina, siap, dan mula menjana aliran tunai — terutamanya daripada projek CGPP, yang akan mula menyumbang mulai 1QCY26," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB, tiada kemas kini setakat ini mengenai LSS6, walaupun tender mungkin dipanggil seawal 1QCY26. 

 

Bagaimanapun firma itu kekal optimis terhadap prospek keuntungan Samaiden berikutan visibiliti kukuh daripada buku tempahan, selain syarikat juga terus mendapat manfaat daripada usaha Malaysia untuk mencapai campuran tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70% menjelang 2050.

 

Mengenai keputusan 1QFY26, RHB berkata, ia sejajar dengan jangkaan, dengan jumlah hasil sebanyak MYR88.1 juta (-34.7% QoQ, +78.4% YoY) disebabkan hampir siapnya beberapa projek berskala utiliti. 

 

Keuntungan teras berada pada MYR6.2 juta (+7.9% QoQ, +85.7% YoY), yang mewakili 22% daripada anggaran tahunan RHB dan Street. 

 

Pertumbuhan keuntungan YoY yang kukuh didorong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada kemajuan projek berskala utiliti, dan RHB menilai keputusan ini sebagai sejajar, dengan momentum keuntungan dijangka meningkat pada suku seterusnya apabila kemajuan projek Corporate Green Power Programme (CGPP) meningkat.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran keuntungan, memandangkan prestasi 1QFY26 secara keseluruhan sejajar. 

 

"TP berdasarkan SOP kami kekal pada MYR1.63, yang merangkumi 24x P/E CY26F bagi keuntungan EPCC, DCF (WACC 7.8%) untuk aset biogas dan biomass 60% milik syarikat, dan DCF (WACC 5.9%) untuk aset CGPP.

 

"TP ini termasuk premium ESG 6% memandangkan skor Samaiden 3.3 berbanding median negara 3.0," katanya. - DagangNews.com