KUALA LUMPUR 20 Nov – SAM Engineering & Equipment dijangka terus menghadapi tekanan margin dalam jangka pendek susulan kos pemindahan operasi dari Singapura ke Thailand, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan suku tahunan akan datang juga dijangka terus mencerminkan kos berkaitan pemindahan operasi, tetapi pihak pengurusan optimis terhadap tahun kewangan FY27.
“Pemulihan itu dijangka disokong oleh permulaan perniagaan baharu dan sektor semikonduktor menjelang akhir tahun 2026.
“Pihak pengurusan juga memaklumkan walaupun sektor aeroangkasa masih terhad akibat kesesakan rantaian bekalan, pengeluar kapal terbang telah meningkatkan sasaran pengeluaran bulanan, yang memberi isyarat permintaan meningkat pada masa hadapan.
“Bagi bahagian peralatan, pesanan untuk pelanggan storan data dijangka menyumbang kepada pertumbuhan SAM Engineering pada FY27,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
SAM Engineering turut memperoleh pesanan artikel pertama (prototaip produk) dan pesanan ujian percubaan bagi projek baharu, termasuk bahagian komponen kecil berketepatan tinggi hingga mesin pemasangan besar untuk pelanggan semikonduktor Eropah serta sistem ujian berkuasa tinggi untuk pelanggan di Amerika Syarikat.
Maybank IB berkata, kontrak komponen prismatik jangka panjang turut dimeterai dan dijangka mula menyumbang kepada pendapatan SAM Engineering pada FY27.
Bagaimanapun, Maybank IB menekankan bahawa kadar margin semasa SAM yang terhad dijangka berterusan dalam jangka pendek, mengehadkan trajektori pemulihan.
“Risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk kekuatan RM, pemulihan aeroangkasa yang lebih perlahan daripada jangkaan dan pesanan yang lebih perlahan.
“Berdasarkan penilaian 28x CY26E EPS, Maybank IB mengekalkan cadangan Jual untuk saham SAM Engineering dengan sasaran harga MYR3.39, berbanding harga semasa MYR3.96, menunjukkan potensi penurunan sebanyak 14%,” kata firma tersebut.
Buku pesanan semasa syarikat kekal kukuh pada RM5.1 bilion.- DagangNews.com








