KUALA LUMPUR 19 Feb - Pembekal dan pengedar paip kepada industri minyak dan gas, Saliran Group Bhd, lancarkan tawaran awam permulaan (IPO) berharga 27 sen bagi setiap saham yang akan dijual.
IPO Saliran melibatkan penerbitan 80.4 juta saham baharu, merangkumi 21% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 382.9 juta saham.
Menerusi IPO 27 sen sesaham itu, Saliran menyasar untuk mengumpul RM32 juta daripada Pasaran ACE.
Menurut draf prospektus rasminya, sebanyak 80.4 juta saham baharu akan menjana kira-kira RM21 juta.
"Tawaran jualan 38.29 juta saham sedia ada sementara itu akan mengumpul kira-kira RM10.3 juta khas untuk pemegang sahamnya.
"Permohonan saham IPO akan ditutup pada 28 Februari 2025 dan penyenaraian Saliran di Pasaran ACE akan dijadualkan pada 13 Mac 2025," katanya.
Saliran ialah pembekal dan pengedar paip, produk keluli, kelengkapan dan bebibir, serta alat ganti dan aksesori berkaitan.
Syarikat itu mempunyai lebih daripada 19,000 produk unik yang digunakan dalam industri minyak dan gas menyokong aktiviti pemprosesan, penapisan dan pembuatan.
Syarikat itu turut hadir di pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Singapura, China, Korea Selatan dan Vietnam.
Saliran berkata, lebih satu pertiga daripada hasil daripada terbitan awam telah diperuntukkan bagi modal kerja am dan syarikat juga telah memperuntukkan 32% pembayaran balik pinjaman bank.
"Kami akan membelanjakan 5.5% bagi menubuhkan pejabat jualan di Indonesia dan 6.6% untuk membeli mesin dan trak penghantaran.
"Selebihnya adalah untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya.
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei berkata, dana yang diperoleh akan membolehkan kami mencapai matlamat strategik, termasuk pengembangan inventori, penambahbaikan operasi dan penembusan pasaran serantau.
Terbitan awam melibatkan 19.15 juta saham baharu untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia, 7.66 juta saham untuk orang yang layak dan penempatan persendirian berjumlah 54 juta saham untuk Bumiputera yang diluluskan dan pelabur terpilih.
Hasil daripada tawaran jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih akan terakru sepenuhnya kepada Maju Alliance Sdn Bhd yang dikawal oleh Liaw, Pengarah Eksekutif William Chan dan Ketua Pegawai Operasi, Lim Bak Teik.
Malacca Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com








