Saham sektor REIT catat paras tertinggi, Maybank IB saran 'beli' Sime Darby, THMY dan Cuckoo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham sektor REIT catat paras tertinggi, Maybank IB saran 'beli' Sime Darby, THMY dan Cuckoo

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb – Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) terus menjadi tumpuan di Bursa Malaysia semalam apabila mencatat paras paling tinggi dalam rekod sejarah selama 52 minggu.


Di samping itu menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), sektor produk perindustrian dilihat mula mengukuhkan momentum di pasaran bagi meneruskan aliran secara menaik yang seterusnya.


Justeru katanya, penurunan sederhana FBMKLCI tidak membimbangkan dan berkemungkinan hanya fasa penyatuan sebelum indeks utama tersebut meneruskan kenaikan dalam aliran menaik sedia ada.


"Penanda aras pasaran susut 5.54 mata atau 0.32% untuk ditutup 1,750.85 mata, dengan kaunter seperti CIMB, 99 Speed Mart dan Press Metal antara penyumbang utama penurunan," katanya dalam nota hari ini.


Lebar pasaran semalam pula jelas firma penyelidikan tersebut, turut didapati negatif apabila bilangan kaunter yang rugi kembali mengatasi jumlah untung sebanyak 593 berbanding kira-kira 489.


Bagaimanapun tambah Maybank IB, indeks REIT meningkat lagi ke paras tertinggi 52 minggu dengan kira-kira 50% daripada komponennya ditutup lebih tinggi berbanding rekod sehari sebelum itu.


Namun, dengan indeks itu kini berada dalam zon terlebih beli, pelabur mungkin menemui nisbah risiko-ganjaran lebih menarik dalam sektor produk perindustrian yang menunjukkan tanda pemulihan.


"Kami menjangkakan FBMKLCI bergerak dalam julat antara 1,740 hingga 1,760 mata pada dagangan hari ini, dengan paras sokongan kekal sekitar 1,685 dan 1,640 mata," kata firma tersebut optimis.


Dalam cadangan teknikal pula, ia menyarankan tiga kaunter dengan saranan 'beli' antaranya  Sime Darby Property Berhad berikutan sahamnya dinilai memecah aliran menurun secara jangka pendek


Syarikat hartanah tersebut kata Maybank IB, melengkapkan corak ‘bullish flag’, menandakan aliran menaik kembali aktif dengan paras henti rugi (SL) RM1.34 serta rintangan pada RM1.62 dan RM1.77.


Turut menerima saranan sama ialah THMY Holdings Berhad, selepas fasa pengagihan susulan paras tertinggi sepanjang masa Januari 2026, sebelum saham ini kembali di atas purata pergerakan utama.


"Keadaan ini mencerminkan momentum menaik yang disokong indeks kekuatan relatif (RSI), manakala SL diramal pada 92 sen dengan rintangan berlegar antara RM1.14 dan RM1.26," kata firma berkenaan.


Maybank IB turut menyenaraikan Cuckoo International (MAL) Berhad disebabkan struktur pembentukan asas berpanjangan menunjukkan potensi ke arah corak berbentuk ‘inverse head and shoulders’.


Situasi tersebut jelasnya, memberi isyarat pembalikan menaik secara klasik, dengan SL diunjur pada harga 51 sen manakala paras rintangan saham kumpulan ini dijangka mencecah 62 sen dan 69 sen.


Dalam segmen komoditi, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) menunjukkan momentum menurun lebih kukuh selepas tiga sesi berturut-turut susut dan kini diniagakan di bawah purata.


"Keadaan ini memberi petunjuk awal kemungkinan fasa pembalikan menurun, sementara bagi niaga hadapan FBMKLCI (FKLI), ia berpotensi membuka ruang kepada kenaikan seterusnya," kata Maybank IB.


Ia berikutan pembentukan corak 'lilin' bersaiz kecil selama tiga sesi membolehkan purata pergerakan eksponen (EMA) 21 hari mengejar harga, iaitu satu petunjuk konstruktif aliran menaik besar masih utuh.


Secara keseluruhan, firma itu melihat penyatuan semasa sebagai sihat dalam konteks aliran menaik pasaran, dengan peluang dagangan lebih selektif terutamanya dalam sektor perindustrian. - DagangNews.com